Pembelajaran Kata Adjektif (2)

Salah satu tugasan saya semasa menuntut di Institut Pendidikan Nasional ialah untuk menghasilkan satu rancangan pembelajaran menggunakan alat ICT. Kumpulan saya (3 orang) telah menghasilkan satu pakej untuk mengajar kata adjektif.

Projek ini walaupun dihasilkan pada tahun 2004 (mungkin 2005), alhamdulillah alat pengajaran ini masih tetap relevan dan tidak nampak lapuk ataupun ketinggalan zaman. Apatah lagi dengan teknologi yang semakin pesat berkembang, kebanyakan alat ICT sudah pun dianggap tidak relevan dengan keperluan pembelajaran pada zaman ini yang semakin maju.

Setelah mengajar topik kata adjektif kepada pelajar menengah satu ekspres saya, saya ingin menguji sama ada mereka boleh mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari. Projek ICT ini sesuai untuk digunakan kerana para pelajar dikehendaki untuk menjadi seorang pegawai polis yang harus mencari penjenayah yang disyaki melakukan sebuah rompakan di sebuah rumah.

Saya andaikan para pelajar saya akan menganggap projek ICT ini tidak menarik. Jangkaan saya meleset sama sekali. Kelihatan para pelajar teruja untuk mencari penjenayah tersebut. Dengan penuh ketelitian, mereka mencari maklumat-maklumat berguna daripada ketiga-tiga saksi untuk mendapat sifat-sifat ( dengan menggunakan kata adjektif) yang serupa untuk menangkap penjenayah. Pembelajaran ini merupakan satu pembelajaran yang aktif kerana pelajar bukan sahaja bermain satu permainan tetapi mereka juga boleh mendengar dialog serta membaca dialog yang diucapkan oleh saksi-saksi kes rompakan itu.

adjektif

Berdasarkan informasi yang telah mereka dapat, mereka dikehendaki untuk mencari penjenayah yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Nampak gaya projek saya ini terselamat daripada kelapukan dan diharapkan masih boleh digunakan lagi dalam tahun-tahun yang akan datang :).

 

 

Advertisements

Ilustrasi Peribahasa

Peribahasa ialah susunan perkataan yang mengandungi maksud tersirat yang lahir daripada fikiran masyarakat Melayu lama. Peribahasa digunakan untuk menggambarkan sifat dan kelakuan manusia dan keadaan sesuatu masyarakat. Maka tidak hairanlah jika terdapat kosa kata-kosa kata yang  digunakan dalam peribahasa Melayu dianggap agak canggung serta tidak relevan dengan kehidupan pelajar-pelajar zaman hari ini.

Itulah salah satu cabaran pelajar ketika mengulang kaji peribahasa Melayu. Bagi mereka yang mahir, menghafal peribahasa merupakan cara yang terbaik untuk mempelajari peribahasa. Bagi mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang lemah, mereka terkial-kial untuk mempelajari peribahasa. Mereka menyatakan bahawa mereka tidak memahami peribahasa dan tidak dapat melihat kaitan peribahasa tersebut dengan maksud peribahasanya.

Maka tercetusnya satu idea untuk mendapatkan pelajar untuk melukiskan peribahasa serta menghasilkan satu cerita pendek yang berkaitan dengan peribahasa yang telah mereka lukiskan. Pada pendapat saya, dengan melukiskan peribahasa, para pelajar dapat memahami maksud peribahasa dengan lebih baik dan pada masa yang sama dapat menggunakan serta mengasahkan kreativiti mereka.

Saya memulakan aktiviti ini pada tahun 2014 dan sejak tahun itu, saya telah mengumpul beberapa lukisan peribahasa yang sangat menarik yang berjaya menerangkan makna peribahasa melalui visual dengan berkesan.

Saya juga menggalakkan pelajar saya untuk menghasilkan cerita pendek berkenaan peribahasa yang telah mereka tulis. Bahagian ini agak mencabar kerana tidak ramai pelajar berupaya untuk memasukkan peribahasa dalam cerita ringkas yang telah mereka tulis.

20180410_13002920180410_13002520180410_13002120180410_130033

Antara hasil usaha pelajar menengah satu ekspres saya tahun ini untuk Unit 2 Buku Teks Jauhari

Baik juga kalau setiap ilustrasi dan cerita rekaan pelajar-pelajar ini dapat dikumpul dan dijadikan sebagai bahan rujukan dan bacaan. Dengan menggunakan strategi ini, diharapkan pembelajaran peribahasa tidak begitu membosankan dan menggalakkan pelajar untuk menyukai peribahasa Melayu.

Makna perkataan:

canggungagak kekok atau kurang mahir melakukan sesuatu kerana belum biasa melakukannya

terkial-kial berbuat sesuatu dgn susah payah

tercetus – timbul atau terjadi sesuatu keadaan