Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)

Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)

 

Assalamualaikum! Masya Allah. Saya menjadi begitu sibuk sekali sejak mula mengajar di sekolah rendah. Bukan apa, sekolah saya menyambut ulang tahunnya yang ke-20 dan sekolah kami telah menyambutnya dengan gah dan gilang-gemilang. Bukan itu sahaja,  jabatan bahasa ibunda di sekolah baharu saya sangat aktif di mana kami telah melibatkan diri dalam banyak acara dan pertandingan. Disebabkan itu, jadual saya amat padat dan tiada masa untuk mengemas kini blog yang kian berhabuk hehe.

Hari ini saya ingin berkongsi satu strategi di mana saya gunakan bersama murid-murid darjah 4 saya. Sejujurnya, saya tidak tahu tahap kebolehan anak murid saya. Maklumlah, saya sudah terbiasa dengan karangan yang lebih panjang. Apabila saya semak tugasan anak murid saya, alangkah terkejutnya saya apabila melihat karangan mereka sangat pendek! Di sekolah rendah, murid-murid dikehendaki menulis karangan bergambar. Sekiranya mereka tidak menulis dengan banyak, agak payah untuk guru-guru memberikan markah yang baik. Maka timbullah idea untuk menggunakan templat hamburger ini.

Templat Hamburger Untuk Menulis Perenggan

Saya mendapat ilham menghasilkan versi Bahasa Melayu untuk templat hamburger ini daripada guru-guru bahasa Inggeris di America dan di Australia. Saya teruja melihat anchor chart mereka yang berwarna-warni dan kreatif. Templat hamburger ini ialah satu strategi di mana murid-murid digalakkan untuk menulis karangan dengan lebih panjang lagi. Bukan itu sahaja, templat hamburger ini menggalakkan pelajar untuk menyusun isi-isi karangan mereka dengan lebih berstruktur.

hamburger

Templat di atas ini saya gunakan di mana murid-murid dikehendaki memotong bahagian garis bertitik dan menampalnya di buku. Kemudian, saya menyuruh pelajar menulis satu ayat bagi setiap lapisan tersebut di belakang kertas yang telah dipotong dalam buku karangan mereka dengan mengikut format di bawah:

Templat Hamburger Untuk Penulisan Perenggan

Lapisan pertama (roti) : Ayat Permulaan/Ayat Permulaan

Di sini, murid-murid dikehendaki menulis ayat utama tentang gambar 1 dalam karangan bergambar. Ayat ini merupakan ayat pertama yang akan menceritakan apa yang terjadi dalam perenggan tersebut.

Lapisan kedua (tomato): Isi 1

Ini adalah maklumat yang berkaitan dengan ayat utama.

Lapisan ketiga (keju) : Isi 2

Ini adalah maklumat tambahan yang berkaitan dengan isi 1 dan ayat utama.

Lapisan keempat (daging): Isi 3

Pelajar perlu menambah isi agar perenggan menjadi lebih panjang dan mempunyai lebih banyak isi.

Lapisan ke-lima (roti): ayat penutup

Ayat ini adalah ayat terakhir dalam perenggan tersebut di mana pencerita untuk gambar tersebut sudah berakhir.

Pendek kata, templat hamburger membantu pelajar untuk menulis 5 ayat dalam satu perenggan. Bagi pelajar yang lebih cemerlang, mereka boleh menggunakan templat Big Mac (1 ayat permulaan, 4-5 isi, 1 ayat penutup) dan pelajar yang lebih lemah, saya akan menyuruh mereka menggunakan template plain hamburger (1 ayat permulaan, 1 isi, 1 ayat penutup). Ini sudah menerapkan pengajaran pembezaan (differentiated instructions) supaya semua murid dapat mencapai objektif pembelajaran yang sama.

Menggunakan templat burger untuk membantu murid menulis satu

Malang sekali, gambar-gambar tugasan anak murid saya terpadam dari telefon bimbit saya untuk digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa strategi ini efektif untuk mendapatkan pelajar menulis dengan lebih panjang.

Diharapkan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada para pendidik di sana untuk membantu anak murid menulis karangan bergambar dengan lebih baik lagi, Insya Allah!

Continue reading “Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)”

2019 – Tahun Perubahan Paling Besar Dalam Hidup Saya

2019 – Tahun Perubahan Paling Besar Dalam Hidup Saya

20190116_172014.jpg

Bismillahirahmanirahim.

Betul-betul sudah berhabuk blog saya ini. Maklumlah hampir setahun saya tidak mengemas kini blog saya. Tahun 2018 merupakan tahun paling tertekan buat seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang menduduki peperiksaan nasional di Singapura yang dipanggil PSLE (Primary School Leaving Examination).  Tahun di mana saya banyak membuat perubahan paling ketara dalam kehidupan saya sebagai seorang ibu dan pendidik.

Tahun 2018 juga merupakan tahun saya melepaskan ketakutan saya terhadap segala-galanya dan belajar untuk tawakal iaitu menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi seorang pendidik secara sambilan mahupun mengambil cuti tanpa gaji semata-mata ingin menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu sepenuhnya. Begitulah dilema seorang ibu yang juga merupakan seorang pendidik. Kerja itu adalah satu ibadah, tetapi anak adalah satu amanah. Mana satukah yang patut saya berikan tumpuan yang lebih?

Setelah selesainya peperiksaan PSLE itu (phew! Alhamdulillah!) saya juga membuat keputusan yang sangat besar dalam kerjaya saya iaitu berpindah dari sekolah menengah ke sekolah rendah. Ada ramai di antara rakan-rakan saya agak terkejut dengan keputusan saya. 12 tahun mengajar di sekolah menengah dan apabila peluang untuk memasuk ke sekolah rendah muncul, saya menjadi teruja dan mahu mencabar diri saya. Sebelum menjadi seorang guru di sekolah menengah, saya bermula dalam bidang pendidikan sebagai seorang guru sekolah rendah pada tahun 2001. Rasa sayang dan cinta terhadap murid-murid sekolah rendah masih kuat walaupun mengajar di sekolah rendah semakin mencabar.

Gambar di atas adalah tempat duduk baharu saya di sekolah baharu saya yang kini hanya lima minit dari rumah saya (Alhamdulillah). Keadaan di sekolah amat sibuk. Saya masih sedang dalam proses belajar daripada rakan-rakan baharu saya. Insya Allah dengan izin Allah, saya akan terus berusaha untuk berkongsi lebih banyak pengalaman, strategi dan ilmu yang telah saya pelajari. Saya berharap semua akan mendoakan saya agar saya diberikan kelapangan dada dan keberkatan masa agar saya dapat menjalankan jihad saya ini untuk berkongsi ilmu dengan para pendidik mahupun di Singapura dan di rantau Asia.

Pembelajaran Kata Adjektif (2)

Salah satu tugasan saya semasa menuntut di Institut Pendidikan Nasional ialah untuk menghasilkan satu rancangan pembelajaran menggunakan alat ICT. Kumpulan saya (3 orang) telah menghasilkan satu pakej untuk mengajar kata adjektif.

Projek ini walaupun dihasilkan pada tahun 2004 (mungkin 2005), alhamdulillah alat pengajaran ini masih tetap relevan dan tidak nampak lapuk ataupun ketinggalan zaman. Apatah lagi dengan teknologi yang semakin pesat berkembang, kebanyakan alat ICT sudah pun dianggap tidak relevan dengan keperluan pembelajaran pada zaman ini yang semakin maju.

Setelah mengajar topik kata adjektif kepada pelajar menengah satu ekspres saya, saya ingin menguji sama ada mereka boleh mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari. Projek ICT ini sesuai untuk digunakan kerana para pelajar dikehendaki untuk menjadi seorang pegawai polis yang harus mencari penjenayah yang disyaki melakukan sebuah rompakan di sebuah rumah.

Saya andaikan para pelajar saya akan menganggap projek ICT ini tidak menarik. Jangkaan saya meleset sama sekali. Kelihatan para pelajar teruja untuk mencari penjenayah tersebut. Dengan penuh ketelitian, mereka mencari maklumat-maklumat berguna daripada ketiga-tiga saksi untuk mendapat sifat-sifat ( dengan menggunakan kata adjektif) yang serupa untuk menangkap penjenayah. Pembelajaran ini merupakan satu pembelajaran yang aktif kerana pelajar bukan sahaja bermain satu permainan tetapi mereka juga boleh mendengar dialog serta membaca dialog yang diucapkan oleh saksi-saksi kes rompakan itu.

adjektif

Berdasarkan informasi yang telah mereka dapat, mereka dikehendaki untuk mencari penjenayah yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Nampak gaya projek saya ini terselamat daripada kelapukan dan diharapkan masih boleh digunakan lagi dalam tahun-tahun yang akan datang :).

 

 

Ilustrasi Peribahasa

Peribahasa ialah susunan perkataan yang mengandungi maksud tersirat yang lahir daripada fikiran masyarakat Melayu lama. Peribahasa digunakan untuk menggambarkan sifat dan kelakuan manusia dan keadaan sesuatu masyarakat. Maka tidak hairanlah jika terdapat kosa kata-kosa kata yang  digunakan dalam peribahasa Melayu dianggap agak canggung serta tidak relevan dengan kehidupan pelajar-pelajar zaman hari ini.

Itulah salah satu cabaran pelajar ketika mengulang kaji peribahasa Melayu. Bagi mereka yang mahir, menghafal peribahasa merupakan cara yang terbaik untuk mempelajari peribahasa. Bagi mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang lemah, mereka terkial-kial untuk mempelajari peribahasa. Mereka menyatakan bahawa mereka tidak memahami peribahasa dan tidak dapat melihat kaitan peribahasa tersebut dengan maksud peribahasanya.

Maka tercetusnya satu idea untuk mendapatkan pelajar untuk melukiskan peribahasa serta menghasilkan satu cerita pendek yang berkaitan dengan peribahasa yang telah mereka lukiskan. Pada pendapat saya, dengan melukiskan peribahasa, para pelajar dapat memahami maksud peribahasa dengan lebih baik dan pada masa yang sama dapat menggunakan serta mengasahkan kreativiti mereka.

Saya memulakan aktiviti ini pada tahun 2014 dan sejak tahun itu, saya telah mengumpul beberapa lukisan peribahasa yang sangat menarik yang berjaya menerangkan makna peribahasa melalui visual dengan berkesan.

Saya juga menggalakkan pelajar saya untuk menghasilkan cerita pendek berkenaan peribahasa yang telah mereka tulis. Bahagian ini agak mencabar kerana tidak ramai pelajar berupaya untuk memasukkan peribahasa dalam cerita ringkas yang telah mereka tulis.

20180410_13002920180410_13002520180410_13002120180410_130033

Antara hasil usaha pelajar menengah satu ekspres saya tahun ini untuk Unit 2 Buku Teks Jauhari

Baik juga kalau setiap ilustrasi dan cerita rekaan pelajar-pelajar ini dapat dikumpul dan dijadikan sebagai bahan rujukan dan bacaan. Dengan menggunakan strategi ini, diharapkan pembelajaran peribahasa tidak begitu membosankan dan menggalakkan pelajar untuk menyukai peribahasa Melayu.

Makna perkataan:

canggungagak kekok atau kurang mahir melakukan sesuatu kerana belum biasa melakukannya

terkial-kial berbuat sesuatu dgn susah payah

tercetus – timbul atau terjadi sesuatu keadaan

Penerapan Pemikiran Jelas (Making Thinking Visible) Dalam Unit 1: Hasil Ciptaanku Menengah 3 Normal Akademik

Penerapan Pemikiran Jelas (Making Thinking Visible) Dalam Unit 1: Hasil Ciptaanku Menengah 3 Normal Akademik

Sejak kebelakangan ini, ramai para guru telah mula menggunakan teknik pemikiran jelas ataupun lebih popular dikenali sebagai making thinking visible (MTV) dalam kelas.

Mengapa Pemikiran Jelas Penting?

The central idea of Visible Thinking is very simple: making thinking visible.

We learn best what we can see and hear (“visible thinking” means generally available to the senses, not just what you can see with your eyes). We watch, we listen, we imitate, we adapt what we find to our own styles and interests, we build from there. Now imagine learning to dance when the dancers around you are all invisible. Imagine learning a sport when the players who already know the game can’t be seen.

Strange as it seems, something close to it happens all the time in one very important area of learning: learning to think, which includes learning to learn. Thinking is pretty much invisible. To be sure, sometimes people explain the thoughts behind a particular conclusion, but often they do not. Mostly, thinking happens under the hood, within the marvelous engine of our mind-brain.

Visible Thinking includes a number of ways of making students’ thinking visible to themselves, to their peers, and to the teacher, so they get more engaged by it and come to manage it better for learning and other purposes.

When thinking is visible in classrooms, students are in a position to be more metacognitive, to think about their thinking. When thinking is visible, it becomes clear that school is not about memorizing content but exploring ideas. Teachers benefit when they can see students’ thinking because misconceptions, prior knowledge, reasoning ability, and degrees of understanding are more likely to be uncovered. Teachers can then address these challenges and extend students’ thinking by starting from where they are.

– diambil dari lelaman Visible Thinking

Secara jujurnya, saya tidak begitu yakin untuk menerapkan teknik MTV dalam kelas. Namun, saya percaya pada istilah, belum cuba, belum tahu. Kali pertama membuatnya pasti sukar pada mulanya, lama-lama akan menjadi mudah sedikit seperti peribahasa alah bisa tegal biasa.

Merujuk pada unit pertama dalam buku teks Jauhari Menengah 3NA yang bertajuk Ciptaanku, saya berasa topik ini sangat sesuai untuk menggunakan teknik MTV.  Untuk menjadi seorang pencipta, bukankah dia seharusnya mempunyai pemikiran kritikal dan meluaskan serta menjana idea-idea inovatif?

Dalam pengajaran ini, saya mencabar pelajar-pelajar saya untuk menjadi seorang pencipta. Tugas mereka ialah untuk menghasilkan satu ciptaan yang boleh membantu manusia dan merubah seluruh dunia.

Sebelum memulakan tugasan mereka, pelajar telah didedahkan kepada pelbagai jenis ciptaan yang telah mengubah dunia.

Sila klik pada pautan ini: 3NA_Unit1_Ciptaanku

Saya juga menunjukkan video mengenai seorang lelaki dari India, Arunachalam Muruganantham, yang mencipta tuala wanita untuk kaum perempuan di India.

Sila klik pada gambar ini untuk menonton video:

Arunachalam-Muruganantha-Jayaashree-Industries

Tujuan utama menunjukkan video ini adalah untuk membolehkan pelajar berfikir secara mendalam dan kritika betapa pentingnya untuk seorang pencipta mengenal pasti masalah sebelum membuat keputusan untuk mencipta sesuatu yang baharu. Saya berharap dengan adanya aktiviti ini dapat membantu pelajar  mereka suatu ciptaan yang akan merubah dunia.

Saya memberi mereka seminggu untuk menyelesaikan tugasan ini. Pada masa yang sama, saya juga  tidak meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap pelajar saya saya supaya saya tidak akan kecewa. Setelah menerima tugasan-tugasan mereka, saya benar-benar kagum terhadap kreativiti mereka serta pemikiran kritikal yang dipaparkan dalam ciptaan-ciptaan mereka.

Selepas menjalani aktiviti ini, saya menyedari bahawa pelajaran dalam kelas tidak semestinya hanya menyediakan mereka untuk menghadapi peperiksaan. Pembelajaran dalam kelas juga merupakan satu peluang untuk pelajar saya meneroka dan mempelajari perkara-perkara baharu serta mengenal pasti kelebihan yang ada dalam diri mereka. Saya agak teruja untuk mencuba dan menanamkan rutin ini dalam pelajaran yang akan datang.

Berikut adalah hasil tugasan-tugasan pelajar saya:

Makna Perkataan:

alah bisa tegal biasa  – perkara yang sukar apabila kerap kali dilakukan, atau kerap kali berlatih akan terasa mudah dan menjadi mahir

inovatif – merupakan (bersifat) inovasi

Buku Kecil Renungan (Reflection Booklet)

Buku Kecil Renungan (Reflection Booklet)

Salah satu cabaran seorang guru di sekolah ialah pelajar-pelajar yang tidak menghantar tugasan tepat pada masanya atau tidak membawa buku-buku yang diperlukan dalam kelas. Kebanyakan guru akan sekadar menasihatinya jika perkara itu berlaku untuk sekali atau dua atau memarahi dan mendenda pelajar tersebut sekiranya perkara itu berlaku dengan kerap.

Sebagai seorang pendidik di sekolah menengah kawasan Yishun, ini merupakan satu cabaran yang sering berlaku dalam kelas saya dan saya cuba memikirkan apakah cara terbaik untuk memupuk sikap bertanggungjawab dalam diri pelajar.

Maka lahirlah Buku Kecil Renungan atau dipanggil sebagai Reflection Booklet. Ini merupakan inisiatif baharu saya pada tahun ini yang saya gunakan untuk pelajar menengah satu saya. Pada tahun-tahun sebelumnya, saya menggunakan borang saiz a4 namun cara ini menimbulkan beberapa hal administrasi sehingga sukar untuk saya memantau pelajar saya dengan baik.

Buku Kecil Renungan
Setelah beberapa tahun mencuba kaedah ini, maka terlahirlah buku refleksi ini. Buku ini digunakan pelajar untuk membuat renungan sebab mereka tidak membuat tugasan mereka.
Akibat jika tidak membuat tugasan
Saya juga menyenaraikan akibat-akibat yang pelajar akan terima sekiranya mereka tidak membuat tugasan dan sebagainya.

Dengan adanya buku kecil renungan ini, mudah untuk saya memantau dan mengenal pasti pelajar manakah yang sentiasa tidak membuat tugasan rumah ataupun tidak membawa buku-buku ke kelas.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Pada awalnya, saya berasa gelisah tatkala melakukan buku renungan ini, apatah lagi dengan peraturan-peraturan seperti itu, takut-takut ada ibu bapa yang tidak setuju dengan cara saya mendidik pelajar-pelajar saya, Ternyata, sangkaan saya meleset. Kesemua ibu bapa menandatangani buku kecil renungan itu sebagai tanda persetujuan terhadap peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Saya turut berasa gembira melihat ibu bapa meninggalkan nota dalam buku renungan.

Antara satu masalah yang mungkin akan timbul ialah apabila pelajar tidak menunjukkan buku kecil renungan ini kepada ibu bapa mereka. Inilah antara sebabnya saya mulakan inisiatif ini dengan pelajar menenengah satu.

Saya mengharapkan tiada pelajar yang tidak membawa buku atau tidak membuat tugasan buat kali ketiga! 🙂

 

Kepentingan Sokongan Ibu Bapa

Kepentingan Sokongan Ibu Bapa

Researchers have evidence for the positive effects of parent involvement on children, families, and school when schools and parents continuously support and encourage the children’s learning and development (Eccles & Harold, 1993; Illinois State Board of Education, 1993). According to Henderson and Berla (1994), “the most accurate predictor of a student’s achievement in school is not income or social status but the extent to which that student’s family is able to:

  1. Create a home environment that encourages learning
  2. Express high (but not unrealistic) expectations for their children’s achievement and future careers
  3. Become involved in their children’s education at school and in the community 

(dipetik dari lelaman: https://www.education.com/reference/article/benefits-parent-involvement-research/)

Kejayaan seseorang pelajar bukan sahaja terletak pada usaha gigihnya sahaja. Sokongan ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang pelajar.

 

Pada tahun ini, lembaran “Matlamat & Sasaran 2018” yang telah saya sediakan untuk para pelajar saya, saya selitkan satu bahagian di mana ibu bapa dikehendaki untuk menulis kata-kata perangsang. Dengan cara ini, bu bapa dapat menunjukkan sekaligus membuktikan kepada anak-anak mereka bahawa mereka sentiasa akan memberi motivasi dan sokongan dalam perjalanan pendidikan anak-anak mereka.

Sebagai seorang pendidik, pastinya saya berasa bangga membaca kata-kata perangsang yang telah ditulis oleh ibu bapa pelajar-pelajar saya.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Sekiranya ada masanya pelajar-pelajar saya hilang semangat untuk belajar atau berputus asa atas kegagalan yang diterima, diharapkan kata-kata perangsang ini dapat meniupkan semangat dalam diri mereka agar terus cekal dan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan. Bak kata pepatah, genggam bara api biar sampai jadi arang.