Pembelajaran Kata Adjektif (2)

Salah satu tugasan saya semasa menuntut di Institut Pendidikan Nasional ialah untuk menghasilkan satu rancangan pembelajaran menggunakan alat ICT. Kumpulan saya (3 orang) telah menghasilkan satu pakej untuk mengajar kata adjektif.

Projek ini walaupun dihasilkan pada tahun 2004 (mungkin 2005), alhamdulillah alat pengajaran ini masih tetap relevan dan tidak nampak lapuk ataupun ketinggalan zaman. Apatah lagi dengan teknologi yang semakin pesat berkembang, kebanyakan alat ICT sudah pun dianggap tidak relevan dengan keperluan pembelajaran pada zaman ini yang semakin maju.

Setelah mengajar topik kata adjektif kepada pelajar menengah satu ekspres saya, saya ingin menguji sama ada mereka boleh mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari. Projek ICT ini sesuai untuk digunakan kerana para pelajar dikehendaki untuk menjadi seorang pegawai polis yang harus mencari penjenayah yang disyaki melakukan sebuah rompakan di sebuah rumah.

Saya andaikan para pelajar saya akan menganggap projek ICT ini tidak menarik. Jangkaan saya meleset sama sekali. Kelihatan para pelajar teruja untuk mencari penjenayah tersebut. Dengan penuh ketelitian, mereka mencari maklumat-maklumat berguna daripada ketiga-tiga saksi untuk mendapat sifat-sifat ( dengan menggunakan kata adjektif) yang serupa untuk menangkap penjenayah. Pembelajaran ini merupakan satu pembelajaran yang aktif kerana pelajar bukan sahaja bermain satu permainan tetapi mereka juga boleh mendengar dialog serta membaca dialog yang diucapkan oleh saksi-saksi kes rompakan itu.

adjektif

Berdasarkan informasi yang telah mereka dapat, mereka dikehendaki untuk mencari penjenayah yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Nampak gaya projek saya ini terselamat daripada kelapukan dan diharapkan masih boleh digunakan lagi dalam tahun-tahun yang akan datang :).

 

 

Pembelajaran Kosa Kata Menggunakan Lelaman Memrise & Penilaian Melalui Socrative

 

img_2822

Salah satu alat ICT yang saya suka gunakan dalam kelas, terutama sekali dalam pengajaran kosa kata baharu, ialah Memrise. Saya menjumpai lelaman ini dengan secara tidak sengaja apabila sedang membuat kajian cara untuk mengajar kosa kata dengan efektif. Lelaman Memrise utama akan kelihatan seperti ini:memrise

Apa yang perlu dilakukan oleh guru ialah untuk memuatnaikkan senarai kosa kata yang ingin diajar kepada para pelajar. Lelaman ini juga akan menyediakan pelbagai aktiviti untuk memastikan pelajar mendapat latihan yang secukupnya sebelum diizinkan mempelajari kosa kata – kosa kata yang lain.

img_2832
antara latihan yang disediakan dalam Memrise
IMG_2824.JPG
latihan berbentuk MCQ (pilihan) juga turut disediakan

Alat ICT ini sesuai digunakan sebagai pengukuhan setelah selesai mempelajari kosa kata. Lelaman ini juga menggalakkan pembelajaran kendiri (self-directed learning) di mana pelajar akan menerima maklum balas sekiranya jawapan yang diberikan salah. Setiap jawapan yang salah, pelajar dikehendaki untuk mempelajari kosa kata yang sama sehinggalah dia mendapat jawapan yang tepat.

Setelah pelajar membuat ulang kaji menggunakan lelaman ini, saya menggunakan Socrative untuk mengadakan penilaian untuk memastikan sama ada mereka memahami kosa kata yang telah mereka pelajari.

socrative
lelaman utama Socrative selepas daftar masuk

Saya menggunakan Perlumbaan Angkasa “Space Race”  untuk membuat penilaian lebih menarik lagi.

20170217_113937
perlumbaan di antara kumpulan.

Ciri paling menarik tentang Socrative ini ialah bagi setiap kuiz yang dijalankan secara langsung, guru dapat melihat keputusan pelajar dengan segera. Tambahan pula, laporan juga disediakan dan boleh dimuatturunkan untuk para guru mengenal pasti kelemahan para pelajar.

Alat-alat ICT seperti ini akan membantu para guru untuk menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan menanam minat dalam diri pelajar untuk memperbaik penguasaan bahasa Melayu mereka.

img_2820
pelajar kelihatan fokus membuat ulang kaji kosa kata.