Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)

Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)

 

Assalamualaikum! Masya Allah. Saya menjadi begitu sibuk sekali sejak mula mengajar di sekolah rendah. Bukan apa, sekolah saya menyambut ulang tahunnya yang ke-20 dan sekolah kami telah menyambutnya dengan gah dan gilang-gemilang. Bukan itu sahaja,  jabatan bahasa ibunda di sekolah baharu saya sangat aktif di mana kami telah melibatkan diri dalam banyak acara dan pertandingan. Disebabkan itu, jadual saya amat padat dan tiada masa untuk mengemas kini blog yang kian berhabuk hehe.

Hari ini saya ingin berkongsi satu strategi di mana saya gunakan bersama murid-murid darjah 4 saya. Sejujurnya, saya tidak tahu tahap kebolehan anak murid saya. Maklumlah, saya sudah terbiasa dengan karangan yang lebih panjang. Apabila saya semak tugasan anak murid saya, alangkah terkejutnya saya apabila melihat karangan mereka sangat pendek! Di sekolah rendah, murid-murid dikehendaki menulis karangan bergambar. Sekiranya mereka tidak menulis dengan banyak, agak payah untuk guru-guru memberikan markah yang baik. Maka timbullah idea untuk menggunakan templat hamburger ini.

Templat Hamburger Untuk Menulis Perenggan

Saya mendapat ilham menghasilkan versi Bahasa Melayu untuk templat hamburger ini daripada guru-guru bahasa Inggeris di America dan di Australia. Saya teruja melihat anchor chart mereka yang berwarna-warni dan kreatif. Templat hamburger ini ialah satu strategi di mana murid-murid digalakkan untuk menulis karangan dengan lebih panjang lagi. Bukan itu sahaja, templat hamburger ini menggalakkan pelajar untuk menyusun isi-isi karangan mereka dengan lebih berstruktur.

hamburger

Templat di atas ini saya gunakan di mana murid-murid dikehendaki memotong bahagian garis bertitik dan menampalnya di buku. Kemudian, saya menyuruh pelajar menulis satu ayat bagi setiap lapisan tersebut di belakang kertas yang telah dipotong dalam buku karangan mereka dengan mengikut format di bawah:

Templat Hamburger Untuk Penulisan Perenggan

Lapisan pertama (roti) : Ayat Permulaan/Ayat Permulaan

Di sini, murid-murid dikehendaki menulis ayat utama tentang gambar 1 dalam karangan bergambar. Ayat ini merupakan ayat pertama yang akan menceritakan apa yang terjadi dalam perenggan tersebut.

Lapisan kedua (tomato): Isi 1

Ini adalah maklumat yang berkaitan dengan ayat utama.

Lapisan ketiga (keju) : Isi 2

Ini adalah maklumat tambahan yang berkaitan dengan isi 1 dan ayat utama.

Lapisan keempat (daging): Isi 3

Pelajar perlu menambah isi agar perenggan menjadi lebih panjang dan mempunyai lebih banyak isi.

Lapisan ke-lima (roti): ayat penutup

Ayat ini adalah ayat terakhir dalam perenggan tersebut di mana pencerita untuk gambar tersebut sudah berakhir.

Pendek kata, templat hamburger membantu pelajar untuk menulis 5 ayat dalam satu perenggan. Bagi pelajar yang lebih cemerlang, mereka boleh menggunakan templat Big Mac (1 ayat permulaan, 4-5 isi, 1 ayat penutup) dan pelajar yang lebih lemah, saya akan menyuruh mereka menggunakan template plain hamburger (1 ayat permulaan, 1 isi, 1 ayat penutup). Ini sudah menerapkan pengajaran pembezaan (differentiated instructions) supaya semua murid dapat mencapai objektif pembelajaran yang sama.

Menggunakan templat burger untuk membantu murid menulis satu

Malang sekali, gambar-gambar tugasan anak murid saya terpadam dari telefon bimbit saya untuk digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa strategi ini efektif untuk mendapatkan pelajar menulis dengan lebih panjang.

Diharapkan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada para pendidik di sana untuk membantu anak murid menulis karangan bergambar dengan lebih baik lagi, Insya Allah!

Continue reading “Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)”

Contoh- Contoh Ayat Pertunjukan

Assalamualaikum semua.

Saya ingin berkongsi hasil pelajar-pelajar saya menghasilkan ayat pertunjukan untuk beberapa ayat pemberitahuan yang telah diberikan.

Ayat Pemberitahuan: Hujan turun dengan lebatnya.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Halililintar (petir) membelah langit
  • meremang bulu roma akibat kesejukan angin
  • kesejukan titisan hujan sehingga menggigit tulang
  • kedinginan angin sehingga badan menggigil kesejukan
  • kilat sabung-menyabung
  • langit menjadi mendung
  • awan hitam berarak
  • hujan merintik-rintik
  • kesejukan ibarat berada dalam peti ais
  • angin menderu-deru
  • hujan renyai/gerimis menitis di kepalaku
  • kedengar percikan manik-manik hujan menghunjam bumi dengan penuh irama
  • baju menjadi basah-kuyup sehingga melekat pada kulit
  • bahana petir/guruh mengejutkanku dari lamunan
  • awan-awan di cakrawala mula menangis lalu menitiskan air matanya dengan deras

Hasil daripada pelajar-pelajar menengah 2NA Tahun 2017.

Ayat Pemberitahuan: Cuaca hari ini sungguh panas.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Matahari terang-benderang dan silau
  • Cuaca hari ini panas terik
  • Kulitku terasa seperti dibakar
  • Seluruh badanku berpeluh dan melekit
  • Mukaku kemerah-merahan
  • Sinaran matahari yang silau memancar terus ke mataku sehingga hampir-hampir membutakan pandanganku.
  • Manik-manik peluh mula mengalir di pipiku
  • Tekakku mula terasa kering kerana kehausan
  • Matahari dengan megah melantunkan sinaran cahaya yang panas terik
  • Tekakku haus bukan kepalang
  • Anak tekakku kering kehausan air
  • Cahaya yang dipancarkan oleh matahari kian menggila panasnya membuat kulitku seakan-akan terbakar
  • Berpeluh berbaldi-baldi

Hasil daripada pelajar 3NA 2016.

Ayat Pemberitahuan: Cikgu Jariah memarahi Aiman.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Muka Cikgu Jariah kemerah-merahan seperti bebola api yang menyala
  • Matanya terbeliak besar memandang Aiman
  • Matanya terbeliak seolah-olah biji matanya hampir terkeluar
  • Pekikan yang nyaring membuat Aiman mula menitiskan air matanya
  • Cikgu Jariah memberikan renungan yang tajam seolah-olah ingin menelannya
  • Jeritan Cikgu Jariah bagaikan halilintar membelah bumi
  • Air hangat dan jernih itu mengalir juga di lurah-lurah pipinya yang gebu seperi kuih pau
  • Mulutnya bagai dikunci, lidahnya bagai tidak boleh bertutur lagi
  • Penuh dengan sindiran yang sinis, kata-kata itu bagaikan menghiris hati
  • Renungan tajam bagaikan renungan sang helang

Hasil daripada pelajar 3NA 2016.

Ayat Pemberitahuan: Rumah itu terbakar.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Terhidu udara yang hangit
  • Udara di sekelilingku menjadi panas seolah-olah seperti membuatku berasa berada dalam neraka
  • Kepulan asap hitam tebal mengikut arus angin
  • Pekikan suara yang nyaring
  • Rumah dijilat api
  • Peristiwa masih segar dalam ingatan
  • Suasana menjadi huru-hara
  • Memekik terlolong
  • Api mengganas dan merebak pantas
  • Api kemerah-merahan
  • Rumah itu hangus dan hitam-belegam
  • Api yang membesar bagaikan raksasa di jendela
  • Loceng bordering nyaring menggegar seluruh bangunan itu
  • Pekikan orang ramai bagai menghentam gegendang telinga
  • Ketukan bertubi-tubi di pintu
  • Bau hangit menusuk ke dalam hidungku
  • Hitam seperti arang
  • Peristiwa gerun yang berlaku di hadapan mataku hampir-hampir melumpuh diriku
  • Asap yang tebal membuat nafasku tercungap-cungap
  • Perasaan gerun dan takut menyelubungi diriku
  • Lampu kereta bomba yang berkelap-kelip secara rawak
  • Menyiram rumah yang panas seperti ketuhar dengan pancutan air
  • Seluruh rumah itu hangus sehingga menjadi abu
  • Orang berlari lintang-pukang cuba menyelamatkan diri
  • Aku terus melarikan diri tanpa memikirkan apa-apa
  • Penglihatan aku menjadi kabur
  • Orang ramai berkerumun di luar bangunan itu
  • Api yang mengganas merebak dari satu tempat hingga ke tempat bersebelahan dengan sekelip mata
  • Pancutan air yang deras mematikan api yang mengganas itu

Hasil daripada pelajar 2 Ekspres 2016.

Diharapkan perkongsian ini dapat memanfaatkan para pelajar dalam penulisan karangan mereka.

Terpilih

Penggunaan Bahasa Deria Dalam Ayat Pertunjukan

Salah satu cabaran ketika menyemak karangan deskriptif ialah penggunaan ayat-ayat yang terlalu mudah dan tidak dapat menambat perhatian para pembaca. Antara ayat-ayat mudah yang saya maksudkan ialah “Hari ini hujan turun dengan lebatnya.”

hujan.jpg

Ayat seperti itu hanya memberitahu para pembaca bahawa hujan turun dengan lebat pada hari itu. Ayat tersebut tidak membantu para pembaca untuk menghayati atau merasakan suasana hujan yang sebenarnya. Ayat seperti ini dipanggil sebagai “ayat pemberitahuan(telling sentence).

Saya sudah cuba melakukan aktiviti ini pada tahun lepas dan maklum balas yang saya terima positif. Pelajar sudah mula mahu menulis ayat yang lebih baik yang menggunakan bahasa deria atau dikenali sebagai sensory language. Para pelajar dikehendaki menggunakan kelima-lima pancaindera mereka untuk menghasilkan ayat pertunjukan atau dikenali sebagai showing sentence.

Strategy Show, Not Tell ini dihasilkan oleh Rebekah Kaplan dan berikut merupakan maksud di sebalik teknik pengajaran ini:

One of the more creative and effective tools in writing a successful essay is the technique of ‘Show, not Tell’. This technique was developed by Rebekah Kaplan with the purpose of assisting students everywhere write an engaging essay from beginning to end, leaving a memorable and lasting impression on the reader. The technique of ‘Show not Tell’ follows a simple rule of thumb… choose descriptive words for your essay which will appeal to the reader’s senses. The writer will want to conjure up images in the reader’s mind incorporating all the senses while writing about the topic at hand.

(https://news.essayontime.com/the-show-not-tell-technique)

Berikut merupakan contoh-contoh ayat pertunjukan yang dihasilkan oleh para pelajar menengah 2NA setelah melakukan bersama-sama di dalam kelas:
Ayat Pemberitahuan: Hujan turun dengan lebatnya.

Ayat Pertunjukan: Langit menjadi mendung dan awan hitam berarak perlahan. Hujan renyai tiba-tiba menitis di kepalaku. Kilat sabung-menyabung dan tidak semena-mena hujan merintik dengan agak deras. Halilintar membelah langit dan bahana petir mengejutkanku dari lamunan. Kesejukan angin yang menderu-deru membuat badanku menggigil kesejukan. Meremang bulu roma akibat kesejukan angin yang bagai menggigit-gigit tulang. Bajuku menjadi basah-kuyup sehingga melekat pada kulit akibat percikan manik-manik hujan yang menghunjam bumi dengan penuh irama.

Lihat perbezaannya antara ayat pertunjukan dengan ayat pemberitahuan? Sebenarnya ayat pertunjukan ini juga sesuai digunakan dalam karangan naratif. Berikut merupakan contoh lembaran kerja dan hasil tugas pelajar saya:

20170811_134044
Contoh ayat pertunjukan kepada para pelajar
20170811_134050
Pelajar berusaha untuk menulis ayat pertunjukan

Setelah melakukan aktiviti ini, para pelajar kini sudah cuba untuk menggunakan ayat pertunjukan dalam karangan deskriptif. Saya mula melihat beberapa ayat pertunjukan dalam karangan deskriptif (kerosakan dalam MRT) seperti berikut:

  • ramai orang bertolak-tolakan antara satu sama lain apabila mahu memasuki gerabak MRT yang sudah sesak bagaikan tin sardin.
  • Badan-badan yang melekit seperti gula cair menyentuh badan saya.
  • Tangisan bayi yang kuat bagaikan mahu memecahkan gegendang telinga saya.
  • Terasa bahang bagaikan berada dalam ketuhar.
  • Saya cuba menyelit ke dalam lautan manusia untuk mengimbas kad saya.

Kadang-kala, para pelajar kita kreatif sangat sehingga menghasilkan ayat pertunjukan yang kurang sesuai dan janggal seperti, ” Mukanya seperti dibanjiri air sungai”.  Begitulah pengajaran ayat pertunjukan dengan menggunakan bahasa deria untuk menghasilkan sebuah karangan deskriptif yang menarik. Semoga memberi manfaat kepada semua 🙂