Pembelajaran Kata Adjektif (2)

Salah satu tugasan saya semasa menuntut di Institut Pendidikan Nasional ialah untuk menghasilkan satu rancangan pembelajaran menggunakan alat ICT. Kumpulan saya (3 orang) telah menghasilkan satu pakej untuk mengajar kata adjektif.

Projek ini walaupun dihasilkan pada tahun 2004 (mungkin 2005), alhamdulillah alat pengajaran ini masih tetap relevan dan tidak nampak lapuk ataupun ketinggalan zaman. Apatah lagi dengan teknologi yang semakin pesat berkembang, kebanyakan alat ICT sudah pun dianggap tidak relevan dengan keperluan pembelajaran pada zaman ini yang semakin maju.

Setelah mengajar topik kata adjektif kepada pelajar menengah satu ekspres saya, saya ingin menguji sama ada mereka boleh mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari. Projek ICT ini sesuai untuk digunakan kerana para pelajar dikehendaki untuk menjadi seorang pegawai polis yang harus mencari penjenayah yang disyaki melakukan sebuah rompakan di sebuah rumah.

Saya andaikan para pelajar saya akan menganggap projek ICT ini tidak menarik. Jangkaan saya meleset sama sekali. Kelihatan para pelajar teruja untuk mencari penjenayah tersebut. Dengan penuh ketelitian, mereka mencari maklumat-maklumat berguna daripada ketiga-tiga saksi untuk mendapat sifat-sifat ( dengan menggunakan kata adjektif) yang serupa untuk menangkap penjenayah. Pembelajaran ini merupakan satu pembelajaran yang aktif kerana pelajar bukan sahaja bermain satu permainan tetapi mereka juga boleh mendengar dialog serta membaca dialog yang diucapkan oleh saksi-saksi kes rompakan itu.

adjektif

Berdasarkan informasi yang telah mereka dapat, mereka dikehendaki untuk mencari penjenayah yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Nampak gaya projek saya ini terselamat daripada kelapukan dan diharapkan masih boleh digunakan lagi dalam tahun-tahun yang akan datang :).

 

 

Advertisements

Mari Belajar Kata Adjektif

Setiap guru selalunya ingin menyediakan suasana pembelajaran yang seronok dan bermanfaat. Selalunya, saya lebih suka memberikan lembaran kerja dan slaid Powerpoint untuk mengajar tatabahasa. Kali ini, saya mencuba aktiviti “Cuba Teka Objek Rahsia Saya?” untuk mengajar kata adjektif dan penggunaan kata adjektif.

Setelah mengajar pelbagai jenis kata adjektif kepada kelas, para pelajar telah diberikan sekeping beg kertas berwarna coklat dan arahan berikut:

KEJUTAN ADJEKTIF

  1. Pilih satu objek yang kamu boleh bawa ke sekolah yang boleh dimuatkan dalam beg kertas ini. Rahsiakan objek yang disimpan dalam beg kertas ini. Pastikan objek yang dipilih mudah untuk diteka dengan menggunakan kata-kata adjektif.
  2. Senaraikan kata-kata adjektif yang menggambarkan objek kamu di hadapan kelas.
  3. Kamu dikehendaki untuk membaca klu-klu kamu di kelas kemudian rakan sedarjah kamu dikehendaki untuk meneka apa yang ada di dalam beg kertas itu.

Contoh: Klu Adjektif

panjang merah
keras kurus

 

Apakah saya? Pena Merah

 

Objek Rahsia Saya

_________________________________________

Kata-kata adjektif untuk menggambarkan objek rahsia saya:

  1. _________________________________________
  2. _________________________________________
  3. _________________________________________
  4. _________________________________________
  5. _________________________________________
  6. _________________________________________
  7. _________________________________________
  8. _________________________________________
  9. _________________________________________
  10. _________________________________________

Ternyata, aktiviti sebeginilah yang sangat disukai oleh pelajar saya. Tambahan pula, inilah satu-satunya tugasan rumah yang telah diselesaikan oleh SEMUA pelajar saya. Pelajar saya kelihatan begitu teruja untuk meneka apakah objek-objek rahsia yang telah disediakan oleh rakan-rakan sedarjah mereka. Suasana kelas menjadi gamat dan dipenuhi dengan gelak ketawa serta seloroh para pelajar saya.

Nampak gaya, saya harus menyediakan lebih banyak aktiviti seperti ini.

img_2786
Inilah objek rahsia Rooney! Saya sendiri juga tidak dapat meneka walaupun diberikan kata-kata adjektif yang banyak untuk menerangkan objek rahsianya. Haha!

Kosa Kata

gamat – bising, riuh-rendah

seloroh – senda gurau yang lu­cu