Matlamat Tahun Baharu

“Dreams without goals remain dreams and fuel disappointment. Goals cannot be achieved without discipline and consistency.” – Denzel Washington

Satu langkah penting yang perlu dilakukan oleh setiap individu, terutama sekali pelajar, ialah untuk menetapkan matlamat dan sasaran pada setiap tahun baharu. Tak kira sama ada pelajar itu merupakan pelajar menengah satu yang baru sahaja masuk ke alam persekolahan baharu ataupun pelejar menengah empat/lima yang bakal menduduki peperiksaan di peringkat nasional.

Menulis matlamat dalam bentuk hitam putih dianggap penting supaya ini dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk mereka mengejar impian mereka. Pada tahun 2014, saya mula mencuba untuk menghasilkan satu lembaran kerja supaya pelajar boleh memikirkan secara serius tentang matlamat dan sasaran mereka dalam pelajaran mereka. Sebagai seorang guru, setiap idea yang baharu merupakan peluang untuk kita mencuba sama ada idea ini efektif dalam membantu para pelajar mencapai matlamat mereka. Sekiranya tidak berjaya, ini juga merupakan peluang untuk kami untuk membuat renungan apa yang kurang dan apa yang perlu diperbaik agar supaya bermanfaat kepada pelajar.

Saya ingin mencuba idea yang telah saya dapat inspirasi dari The Secondary English Coffee Shop daripada dengan pelajar-pelajar menengah satu saya pada tahun ini yang telah saya terjemahkan dalam bahasa Melayu.

Matlamat & Sasaran 2018       

  1. Potong di sekeliling di bahagian yang perlu digunting dengan kemas.
  2. Kemudian, potong setiap matlamat individu sehingga garis menegak yang bertitik.
  3. Lekatkan kertas ini di buku rampaian (tampal bahagian “Matlamat Saya” sahaja) di kertas.
  4. Angkat setiap matlamat kecil dan berikan jawapan kamu di muka surat dalam buku rampaian tersebut.

matlamat

Mudahan-mudahan hasilnya berbaloi. Membuat penterjemahan serta templat sendiri bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi pada masa yang sama perlu membuat persediaan untuk mengajar.

Advertisements

Dulu Gagal ‘O’ Kini Dalam Senarai Dekan NYP

bh_20170111_pg_1_2683731

Nur Eliza. Seorang pelajar yang pernah saya ajar dahulu. Orangnya ceria dan selalu suka tersenyum. Tidak ada masalah disiplin dan selalu menghantar tugasan tepat pada masanya. Hanya, mungkin nasib tidak menyebelahinya ataupun dia tidak membuat persiapan yang secukupnya, maka dia terpaksa menghadapi dua kegagalan ketika dia masih menuntut di Sekolah Menengah Northbrooks.

Namun, kegagalan tersebut tidak mematahkan semangatnya. Dialah contoh terbaik untuk menerangkan peribahasa genggam bara api biar sampai jadi arang.  Kegagalan semasa peperiksaan peringkat ‘O’ tidak menghalangnya untuk membuat yang terbaik buat dirinya. Perjalanannya untuk ke politeknik lebih panjang berbanding dengan rakan-rakan sebayanya yang lain tetapi itu tidak menjadi satu hambatan untuk dirinya untuk mengejar kejayaan

Sebagai seorang guru, saya berasa sangat bangga dengan pencapainya. Saya masih ingat lagi kali pertama dia menjadi pengacara bagi satu program di sekolah iaitu pertandingan Anugerah Suara Emas. Tidak hairanlah sekiranya dia meneruskan pengajiannya dalam bidang Pengurusan Media Massa atau lebih dikenali sebagai Mass Communication. Semoga Eliza dapat menjadi suri teladan kepada pelajar-pelajar saya yang merasakan diri mereka tidak mampu meraih kejayaan dalam pelajaran mereka. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Eliza, berikut merupakan makalah tentang kejayaan Nur Eliza di Berita Harian:

GAGAL sekali tidak bererti gagal selamanya.

Walaupun Cik Nur Eliza Mohd Rani pernah gagal dalam peperiksaan GCE peringkat ‘O’, beliau bangkit dan terus berjuang dalam pelajarannya. Kini, pada usia 22 tahun, Cik Nur Eliza sedang menuntut di Politeknik Nanyang (NYP) di tahun kedua, mengejar diplomanya dalam jurusan Pengurusan Media Massa. Lebih membanggakan, beliau meraih Senarai Dekan tiga kali berturut-turut – dua sewaktu tahun pertama dan satu di tahun kedua.

Pada semester pertama, Cik Nur Eliza meraih Gred Purata Mata (GPA) setinggi 3.7. Mendapat Senarai Dekan bukan mudah. Hanya 10 peratus daripada kohort jurusan boleh meraihnya.

Dalam wawancara menerusi e-mel, Cik Nur Eliza berkata beliau terpaksa memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE) setelah gagal peperiksaan GCE ‘O’.

Namun, berkat usaha gigihnya, beliau berjaya meraih agregat 3.0 dan 3.2 ketika mengambil sijil Higher Nitec dalam jurusan Operasi Kegiatan Lapang dan Pelancongan di ITE Kolej Barat di tahun pertama dan kedua sebelum melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Pencapaian itu membanggakannya terutama kerana beliau terpaksa mengulangi peperiksaan GCE ‘N’ sebelum layak menduduki peperiksaan GCE ‘O’.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Northbrooks itu berkata beliau gagal dalam tiga mata pelajaran dengan gred D7, dan meraih agregat 33 bagi L1R5 untuk peperiksaan GCE ‘O’ itu pada 2012.

“Keluarga saya kecewa apabila mendapat tahu keputusan peperiksaan saya.Walaupun saya rasa patah semangat, saya tetap teruskan kehidupan. Bagi saya, ia hanya satu hari yang buruk; tidak semestinya semua yang berlaku akan menjadi teruk,” tambah anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.

Ibu bapanya, Cik Norlailah Kadola dan Encik Mohd Rani Tumin, masing-masing kerani di Hospital Besar Singapura (SGH) dan pemandu teksi, merupakan tunggak kekuatannya.

“Siapa saya hari ini dan pada masa akan datang semuanya disebabkan sokongan dan kasih sayang ibu bapa saya,” kata Cik Nur Eliza.

“Pendidikan merupakan pelajaran sepanjang hayat. Sesiapa sahaja boleh berjaya jika berusaha dalam apa yang dilakukan. Jangan pernah berfikir bahawa gagal bererti satu pengakhiran dalam hidup. Sentiasa berfikiran positif!” tambahnya.

Kosa Kata

genggam bara api biar sampai jadi arang

Maksud: apabila melakukan atau memulakan sesuatu kerja atau tugas yang sukar hendaklah diteruskan sehingga berjaya atau mencapai matlamatnya. 

suri teladan

Maksud: contoh yg baik (yg patut ditiru)

makalah

Maksud: rencana atau artikel tentang sesuatu perkara, biasanya yg disiarkan dlm majalah, surat khabar

hambatan

Maksud: rintangan, halangan, sekatan