Salasilah Keluarga

Semasa mengajar tentang tema Sayangi Keluarga dalam unit 3 aliran Normal Teknikal, saya terfikir apakah perkara baharu yang ingin saya perkenalkan kepada pelajar-pelajar saya. Tahun lalu, mereka sudah pun diajar istilah-istilah nama panggilan dalam keluarga seperti besan, mertua dan ipar.

Tergerak hati saya untuk mengajar tentang salasilah keluarga. Pada awalnya, saya berasa sangsi akan keupayaan dan tahap motivasi yang ada pada pelajar saya. Maklumlah, sedangkan saya sendiri pun berasa payah untuk mendapatkan informasi tentang salasilah keluarga saya sendiri. Namun, apa yang mendorong saya untuk meneruskan aktiviti ialah, sekurang-kurangnya, pelajar saya akan berusaha dan mempelajari perkara baharu seperti istilah moyang, buyut dan mengenal pasti susur galur keluarganya.

Saya pun menghasilkan lembaran kerja seperti berikut:

salasilah keluarga

Saya pasti pelajar-pelajar saya memerlukan masa untuk menyelesaikan tugasan ini, maka ini diberikan sebagai tugasan semasa cuti sekolah.

Hasilnya? MENAKJUBKAN.

Saya begitu teruja sekali apabila salah seorang pelajar saya, Maulvi, memberitahu saya bahawa dia bersungguh-sungguh melakukan tugasan ini dengan menelefon semua saudara-maranya. Nampaknya, tugasan seperti ini ada kebaikannya, di mana pelajar saya berkomunikasi dengan ahli keluarga dan saudara-maranya dan saya pasti ini dapat merapatkan keakraban di kalangan mereka.

20170321_120950
Saya terkesima melihat susur galur keluarga Maulvi! Ternyata Maulvi layak mendapat gred A untuk tugasan ini. 
IMG_20170321_144824_167
Lihat wajah Maulvi yang kelihatan gembira untuk berkongsi hasil usahanya

Bukan itu sahaja, melalui aktiviti ini, saya pun mendapat tahu bahawa pelajar saya, Wahidah, merupakan cucu kepada seorang penulis mapan di Singapura, Encik Djamal Tukimin!

20170321_121434
Wahidah juga turut sertakan informasi asal-usul ahli keluarganya yang berasal dari  Jawa, Sarawak, Bugis dan India

Melalui aktiviti ini juga, para pelajar saya akan melihat sendiri keunikan nama-nama nenek, datuk serta moyang mereka. Ternyata, pembelajaran hari ini sangat menyeronokkan dan membuka minda pelajar-pelajar saya. Perkara paling penting saya pelajari hari ini ialah JANGAN memandang rendah (underestimate) terhadap keupayaan pelajar saya.

Kosa Kata

Salasilah – daftar keturunan keluarga

Sangsi – berasa bimbang atau berasa ragu-ragu

Susur Galur – susunan keturunan; salasilah

Menakjubkan – meng­a­gumkan

Keakraban – perhubungan atau pertalian yg sangat erat

Terkesima – tercengang

Mapan – sudah dikenali ramai

Advertisements

Perlumbaan Hebat atau “Amazing Race” Di Sekolah Untuk Pelajar Menengah 2 Normal Teknikal

Amazing-Race-2T

Salah satu unit dalam buku teks Jauhari 2A untuk aliran Normal Teknikal ialah mengenali kawasan sekolah. Saya mendapat inspirasi dari rancangan realiti Amazing Race lalu cuba membuat penukaran sedikit agar aktiviti yang dilakukan sesuai dengan keperluan pelajar. Saya mendapat bantuan daripada seorang rakan guru yang mengajar kelas ini juga untuk bekerjasama dan menghasilkan pembelajaran ini.

Apabila membuat bahan untuk aktiviti ini, saya mengelilingi satu sekolah kemudian memetik gambar beberapa bahagian di daerah sekolah. Kemudian, gambar tersebut akan dijadikan sebagai petunjuk untuk para pelajar meneka di manakah lokasi gambar ini di sekolah. Kemudian, para pelajar dikehendaki untuk mengambil gambar di lokasi tersebut bersama petunjuk yang diberikan dengan menggunakan telefon bimbit mereka. Di lokasi tersebut, para pelajar juga dikehendaki untuk menjawab soalan bahasa dan menuliskan jawapannya di dalam kertas petunjuk tersebut.

Contoh Petunjuk Untuk Perlumbaan Hebat

IMG_2843.JPG
Pasukan ini menjumpai petunjuk (kapal terbang) dan lokasinya ialah di  Hab Kerjaya (Career Hub)
IMG_2844.JPG
Cikgu Fadillah menyemak jawapan mereka dalam kertas petunjuk serta gambar yang diambil pasukan dalam telefon bimbit mereka.

Melalui aktiviti ini, saya mendapati segelintir pelajar saya tidak mempunyai stamina! Saya sangkakan dalam usia mereka yang masih muda, mereka sepatutnya bertenaga dan suka bersaing. Saya memerhatikan ada yang cepat mengalah dan berputus asa, ada pula yang mempunyai sikap sabar dengan karenah rakan-rakannya dan ada juga yang menunjukkan semangat kekitaan. Begitulah ragam para pelajar saya, sesuatu yang tidak dapat dilihat dalam konteks bilik darjah.

Kami turut menjemput guru darjah mereka sebagai tetamu undangan khas untuk menyampaikan hadiah bagi pemenang pertama dalam perlumbaan hebat ini. Seronok juga mengadakan aktiviti seperti ini yang diadakan di luar bilik darjah.

IMG_2857.JPG
Tahniah Rafiqin, Ammar, Rooney dan Maulvi kerana mendapat tempat pertama dalam aktiviti Perlumbaan Hebat di Northbrooks!

Melihat hasilnya yang begitu memberangsangkan, saya berasa teruja untuk menghasilkan lebih banyak aktiviti seperti ini untuk para pelajar saya.

Kosa Kata

petunjuk – panduan, rujukan, (clue)

suka bersaing – kompetitif, berlumba-lumba

semangat kekitaan – semangat kerjasama

memberangsangkan – memberi galakan