Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)

Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)

 

Assalamualaikum! Masya Allah. Saya menjadi begitu sibuk sekali sejak mula mengajar di sekolah rendah. Bukan apa, sekolah saya menyambut ulang tahunnya yang ke-20 dan sekolah kami telah menyambutnya dengan gah dan gilang-gemilang. Bukan itu sahaja,  jabatan bahasa ibunda di sekolah baharu saya sangat aktif di mana kami telah melibatkan diri dalam banyak acara dan pertandingan. Disebabkan itu, jadual saya amat padat dan tiada masa untuk mengemas kini blog yang kian berhabuk hehe.

Hari ini saya ingin berkongsi satu strategi di mana saya gunakan bersama murid-murid darjah 4 saya. Sejujurnya, saya tidak tahu tahap kebolehan anak murid saya. Maklumlah, saya sudah terbiasa dengan karangan yang lebih panjang. Apabila saya semak tugasan anak murid saya, alangkah terkejutnya saya apabila melihat karangan mereka sangat pendek! Di sekolah rendah, murid-murid dikehendaki menulis karangan bergambar. Sekiranya mereka tidak menulis dengan banyak, agak payah untuk guru-guru memberikan markah yang baik. Maka timbullah idea untuk menggunakan templat hamburger ini.

Templat Hamburger Untuk Menulis Perenggan

Saya mendapat ilham menghasilkan versi Bahasa Melayu untuk templat hamburger ini daripada guru-guru bahasa Inggeris di America dan di Australia. Saya teruja melihat anchor chart mereka yang berwarna-warni dan kreatif. Templat hamburger ini ialah satu strategi di mana murid-murid digalakkan untuk menulis karangan dengan lebih panjang lagi. Bukan itu sahaja, templat hamburger ini menggalakkan pelajar untuk menyusun isi-isi karangan mereka dengan lebih berstruktur.

hamburger

Templat di atas ini saya gunakan di mana murid-murid dikehendaki memotong bahagian garis bertitik dan menampalnya di buku. Kemudian, saya menyuruh pelajar menulis satu ayat bagi setiap lapisan tersebut di belakang kertas yang telah dipotong dalam buku karangan mereka dengan mengikut format di bawah:

Templat Hamburger Untuk Penulisan Perenggan

Lapisan pertama (roti) : Ayat Permulaan/Ayat Permulaan

Di sini, murid-murid dikehendaki menulis ayat utama tentang gambar 1 dalam karangan bergambar. Ayat ini merupakan ayat pertama yang akan menceritakan apa yang terjadi dalam perenggan tersebut.

Lapisan kedua (tomato): Isi 1

Ini adalah maklumat yang berkaitan dengan ayat utama.

Lapisan ketiga (keju) : Isi 2

Ini adalah maklumat tambahan yang berkaitan dengan isi 1 dan ayat utama.

Lapisan keempat (daging): Isi 3

Pelajar perlu menambah isi agar perenggan menjadi lebih panjang dan mempunyai lebih banyak isi.

Lapisan ke-lima (roti): ayat penutup

Ayat ini adalah ayat terakhir dalam perenggan tersebut di mana pencerita untuk gambar tersebut sudah berakhir.

Pendek kata, templat hamburger membantu pelajar untuk menulis 5 ayat dalam satu perenggan. Bagi pelajar yang lebih cemerlang, mereka boleh menggunakan templat Big Mac (1 ayat permulaan, 4-5 isi, 1 ayat penutup) dan pelajar yang lebih lemah, saya akan menyuruh mereka menggunakan template plain hamburger (1 ayat permulaan, 1 isi, 1 ayat penutup). Ini sudah menerapkan pengajaran pembezaan (differentiated instructions) supaya semua murid dapat mencapai objektif pembelajaran yang sama.

Menggunakan templat burger untuk membantu murid menulis satu

Malang sekali, gambar-gambar tugasan anak murid saya terpadam dari telefon bimbit saya untuk digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa strategi ini efektif untuk mendapatkan pelajar menulis dengan lebih panjang.

Diharapkan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada para pendidik di sana untuk membantu anak murid menulis karangan bergambar dengan lebih baik lagi, Insya Allah!

Continue reading “Templat “Hamburger” Untuk Menulis Perenggan (Darjah 4)”

Advertisements

2019 – Tahun Perubahan Paling Besar Dalam Hidup Saya

2019 – Tahun Perubahan Paling Besar Dalam Hidup Saya

20190116_172014.jpg

Bismillahirahmanirahim.

Betul-betul sudah berhabuk blog saya ini. Maklumlah hampir setahun saya tidak mengemas kini blog saya. Tahun 2018 merupakan tahun paling tertekan buat seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang menduduki peperiksaan nasional di Singapura yang dipanggil PSLE (Primary School Leaving Examination).  Tahun di mana saya banyak membuat perubahan paling ketara dalam kehidupan saya sebagai seorang ibu dan pendidik.

Tahun 2018 juga merupakan tahun saya melepaskan ketakutan saya terhadap segala-galanya dan belajar untuk tawakal iaitu menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi seorang pendidik secara sambilan mahupun mengambil cuti tanpa gaji semata-mata ingin menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu sepenuhnya. Begitulah dilema seorang ibu yang juga merupakan seorang pendidik. Kerja itu adalah satu ibadah, tetapi anak adalah satu amanah. Mana satukah yang patut saya berikan tumpuan yang lebih?

Setelah selesainya peperiksaan PSLE itu (phew! Alhamdulillah!) saya juga membuat keputusan yang sangat besar dalam kerjaya saya iaitu berpindah dari sekolah menengah ke sekolah rendah. Ada ramai di antara rakan-rakan saya agak terkejut dengan keputusan saya. 12 tahun mengajar di sekolah menengah dan apabila peluang untuk memasuk ke sekolah rendah muncul, saya menjadi teruja dan mahu mencabar diri saya. Sebelum menjadi seorang guru di sekolah menengah, saya bermula dalam bidang pendidikan sebagai seorang guru sekolah rendah pada tahun 2001. Rasa sayang dan cinta terhadap murid-murid sekolah rendah masih kuat walaupun mengajar di sekolah rendah semakin mencabar.

Gambar di atas adalah tempat duduk baharu saya di sekolah baharu saya yang kini hanya lima minit dari rumah saya (Alhamdulillah). Keadaan di sekolah amat sibuk. Saya masih sedang dalam proses belajar daripada rakan-rakan baharu saya. Insya Allah dengan izin Allah, saya akan terus berusaha untuk berkongsi lebih banyak pengalaman, strategi dan ilmu yang telah saya pelajari. Saya berharap semua akan mendoakan saya agar saya diberikan kelapangan dada dan keberkatan masa agar saya dapat menjalankan jihad saya ini untuk berkongsi ilmu dengan para pendidik mahupun di Singapura dan di rantau Asia.