Perlumbaan Hebat atau “Amazing Race” Di Sekolah Untuk Pelajar Menengah 2 Normal Teknikal

Amazing-Race-2T

Salah satu unit dalam buku teks Jauhari 2A untuk aliran Normal Teknikal ialah mengenali kawasan sekolah. Saya mendapat inspirasi dari rancangan realiti Amazing Race lalu cuba membuat penukaran sedikit agar aktiviti yang dilakukan sesuai dengan keperluan pelajar. Saya mendapat bantuan daripada seorang rakan guru yang mengajar kelas ini juga untuk bekerjasama dan menghasilkan pembelajaran ini.

Apabila membuat bahan untuk aktiviti ini, saya mengelilingi satu sekolah kemudian memetik gambar beberapa bahagian di daerah sekolah. Kemudian, gambar tersebut akan dijadikan sebagai petunjuk untuk para pelajar meneka di manakah lokasi gambar ini di sekolah. Kemudian, para pelajar dikehendaki untuk mengambil gambar di lokasi tersebut bersama petunjuk yang diberikan dengan menggunakan telefon bimbit mereka. Di lokasi tersebut, para pelajar juga dikehendaki untuk menjawab soalan bahasa dan menuliskan jawapannya di dalam kertas petunjuk tersebut.

Contoh Petunjuk Untuk Perlumbaan Hebat

IMG_2843.JPG
Pasukan ini menjumpai petunjuk (kapal terbang) dan lokasinya ialah di  Hab Kerjaya (Career Hub)
IMG_2844.JPG
Cikgu Fadillah menyemak jawapan mereka dalam kertas petunjuk serta gambar yang diambil pasukan dalam telefon bimbit mereka.

Melalui aktiviti ini, saya mendapati segelintir pelajar saya tidak mempunyai stamina! Saya sangkakan dalam usia mereka yang masih muda, mereka sepatutnya bertenaga dan suka bersaing. Saya memerhatikan ada yang cepat mengalah dan berputus asa, ada pula yang mempunyai sikap sabar dengan karenah rakan-rakannya dan ada juga yang menunjukkan semangat kekitaan. Begitulah ragam para pelajar saya, sesuatu yang tidak dapat dilihat dalam konteks bilik darjah.

Kami turut menjemput guru darjah mereka sebagai tetamu undangan khas untuk menyampaikan hadiah bagi pemenang pertama dalam perlumbaan hebat ini. Seronok juga mengadakan aktiviti seperti ini yang diadakan di luar bilik darjah.

IMG_2857.JPG
Tahniah Rafiqin, Ammar, Rooney dan Maulvi kerana mendapat tempat pertama dalam aktiviti Perlumbaan Hebat di Northbrooks!

Melihat hasilnya yang begitu memberangsangkan, saya berasa teruja untuk menghasilkan lebih banyak aktiviti seperti ini untuk para pelajar saya.

Kosa Kata

petunjuk – panduan, rujukan, (clue)

suka bersaing – kompetitif, berlumba-lumba

semangat kekitaan – semangat kerjasama

memberangsangkan – memberi galakan

Mari Belajar Kata Adjektif

Setiap guru selalunya ingin menyediakan suasana pembelajaran yang seronok dan bermanfaat. Selalunya, saya lebih suka memberikan lembaran kerja dan slaid Powerpoint untuk mengajar tatabahasa. Kali ini, saya mencuba aktiviti “Cuba Teka Objek Rahsia Saya?” untuk mengajar kata adjektif dan penggunaan kata adjektif.

Setelah mengajar pelbagai jenis kata adjektif kepada kelas, para pelajar telah diberikan sekeping beg kertas berwarna coklat dan arahan berikut:

KEJUTAN ADJEKTIF

  1. Pilih satu objek yang kamu boleh bawa ke sekolah yang boleh dimuatkan dalam beg kertas ini. Rahsiakan objek yang disimpan dalam beg kertas ini. Pastikan objek yang dipilih mudah untuk diteka dengan menggunakan kata-kata adjektif.
  2. Senaraikan kata-kata adjektif yang menggambarkan objek kamu di hadapan kelas.
  3. Kamu dikehendaki untuk membaca klu-klu kamu di kelas kemudian rakan sedarjah kamu dikehendaki untuk meneka apa yang ada di dalam beg kertas itu.

Contoh: Klu Adjektif

panjang merah
keras kurus

 

Apakah saya? Pena Merah

 

Objek Rahsia Saya

_________________________________________

Kata-kata adjektif untuk menggambarkan objek rahsia saya:

  1. _________________________________________
  2. _________________________________________
  3. _________________________________________
  4. _________________________________________
  5. _________________________________________
  6. _________________________________________
  7. _________________________________________
  8. _________________________________________
  9. _________________________________________
  10. _________________________________________

Ternyata, aktiviti sebeginilah yang sangat disukai oleh pelajar saya. Tambahan pula, inilah satu-satunya tugasan rumah yang telah diselesaikan oleh SEMUA pelajar saya. Pelajar saya kelihatan begitu teruja untuk meneka apakah objek-objek rahsia yang telah disediakan oleh rakan-rakan sedarjah mereka. Suasana kelas menjadi gamat dan dipenuhi dengan gelak ketawa serta seloroh para pelajar saya.

Nampak gaya, saya harus menyediakan lebih banyak aktiviti seperti ini.

img_2786
Inilah objek rahsia Rooney! Saya sendiri juga tidak dapat meneka walaupun diberikan kata-kata adjektif yang banyak untuk menerangkan objek rahsianya. Haha!

Kosa Kata

gamat – bising, riuh-rendah

seloroh – senda gurau yang lu­cu