Pembelajaran Kata Adjektif (2)

Salah satu tugasan saya semasa menuntut di Institut Pendidikan Nasional ialah untuk menghasilkan satu rancangan pembelajaran menggunakan alat ICT. Kumpulan saya (3 orang) telah menghasilkan satu pakej untuk mengajar kata adjektif.

Projek ini walaupun dihasilkan pada tahun 2004 (mungkin 2005), alhamdulillah alat pengajaran ini masih tetap relevan dan tidak nampak lapuk ataupun ketinggalan zaman. Apatah lagi dengan teknologi yang semakin pesat berkembang, kebanyakan alat ICT sudah pun dianggap tidak relevan dengan keperluan pembelajaran pada zaman ini yang semakin maju.

Setelah mengajar topik kata adjektif kepada pelajar menengah satu ekspres saya, saya ingin menguji sama ada mereka boleh mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari. Projek ICT ini sesuai untuk digunakan kerana para pelajar dikehendaki untuk menjadi seorang pegawai polis yang harus mencari penjenayah yang disyaki melakukan sebuah rompakan di sebuah rumah.

Saya andaikan para pelajar saya akan menganggap projek ICT ini tidak menarik. Jangkaan saya meleset sama sekali. Kelihatan para pelajar teruja untuk mencari penjenayah tersebut. Dengan penuh ketelitian, mereka mencari maklumat-maklumat berguna daripada ketiga-tiga saksi untuk mendapat sifat-sifat ( dengan menggunakan kata adjektif) yang serupa untuk menangkap penjenayah. Pembelajaran ini merupakan satu pembelajaran yang aktif kerana pelajar bukan sahaja bermain satu permainan tetapi mereka juga boleh mendengar dialog serta membaca dialog yang diucapkan oleh saksi-saksi kes rompakan itu.

adjektif

Berdasarkan informasi yang telah mereka dapat, mereka dikehendaki untuk mencari penjenayah yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Nampak gaya projek saya ini terselamat daripada kelapukan dan diharapkan masih boleh digunakan lagi dalam tahun-tahun yang akan datang :).

 

 

Advertisements

Ilustrasi Peribahasa

Peribahasa ialah susunan perkataan yang mengandungi maksud tersirat yang lahir daripada fikiran masyarakat Melayu lama. Peribahasa digunakan untuk menggambarkan sifat dan kelakuan manusia dan keadaan sesuatu masyarakat. Maka tidak hairanlah jika terdapat kosa kata-kosa kata yang  digunakan dalam peribahasa Melayu dianggap agak canggung serta tidak relevan dengan kehidupan pelajar-pelajar zaman hari ini.

Itulah salah satu cabaran pelajar ketika mengulang kaji peribahasa Melayu. Bagi mereka yang mahir, menghafal peribahasa merupakan cara yang terbaik untuk mempelajari peribahasa. Bagi mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang lemah, mereka terkial-kial untuk mempelajari peribahasa. Mereka menyatakan bahawa mereka tidak memahami peribahasa dan tidak dapat melihat kaitan peribahasa tersebut dengan maksud peribahasanya.

Maka tercetusnya satu idea untuk mendapatkan pelajar untuk melukiskan peribahasa serta menghasilkan satu cerita pendek yang berkaitan dengan peribahasa yang telah mereka lukiskan. Pada pendapat saya, dengan melukiskan peribahasa, para pelajar dapat memahami maksud peribahasa dengan lebih baik dan pada masa yang sama dapat menggunakan serta mengasahkan kreativiti mereka.

Saya memulakan aktiviti ini pada tahun 2014 dan sejak tahun itu, saya telah mengumpul beberapa lukisan peribahasa yang sangat menarik yang berjaya menerangkan makna peribahasa melalui visual dengan berkesan.

Saya juga menggalakkan pelajar saya untuk menghasilkan cerita pendek berkenaan peribahasa yang telah mereka tulis. Bahagian ini agak mencabar kerana tidak ramai pelajar berupaya untuk memasukkan peribahasa dalam cerita ringkas yang telah mereka tulis.

20180410_13002920180410_13002520180410_13002120180410_130033

Antara hasil usaha pelajar menengah satu ekspres saya tahun ini untuk Unit 2 Buku Teks Jauhari

Baik juga kalau setiap ilustrasi dan cerita rekaan pelajar-pelajar ini dapat dikumpul dan dijadikan sebagai bahan rujukan dan bacaan. Dengan menggunakan strategi ini, diharapkan pembelajaran peribahasa tidak begitu membosankan dan menggalakkan pelajar untuk menyukai peribahasa Melayu.

Makna perkataan:

canggungagak kekok atau kurang mahir melakukan sesuatu kerana belum biasa melakukannya

terkial-kial berbuat sesuatu dgn susah payah

tercetus – timbul atau terjadi sesuatu keadaan

Matlamat Tahun Baharu

“Dreams without goals remain dreams and fuel disappointment. Goals cannot be achieved without discipline and consistency.” – Denzel Washington

Satu langkah penting yang perlu dilakukan oleh setiap individu, terutama sekali pelajar, ialah untuk menetapkan matlamat dan sasaran pada setiap tahun baharu. Tak kira sama ada pelajar itu merupakan pelajar menengah satu yang baru sahaja masuk ke alam persekolahan baharu ataupun pelejar menengah empat/lima yang bakal menduduki peperiksaan di peringkat nasional.

Menulis matlamat dalam bentuk hitam putih dianggap penting supaya ini dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk mereka mengejar impian mereka. Pada tahun 2014, saya mula mencuba untuk menghasilkan satu lembaran kerja supaya pelajar boleh memikirkan secara serius tentang matlamat dan sasaran mereka dalam pelajaran mereka. Sebagai seorang guru, setiap idea yang baharu merupakan peluang untuk kita mencuba sama ada idea ini efektif dalam membantu para pelajar mencapai matlamat mereka. Sekiranya tidak berjaya, ini juga merupakan peluang untuk kami untuk membuat renungan apa yang kurang dan apa yang perlu diperbaik agar supaya bermanfaat kepada pelajar.

Saya ingin mencuba idea yang telah saya dapat inspirasi dari The Secondary English Coffee Shop daripada dengan pelajar-pelajar menengah satu saya pada tahun ini yang telah saya terjemahkan dalam bahasa Melayu.

Matlamat & Sasaran 2018       

  1. Potong di sekeliling di bahagian yang perlu digunting dengan kemas.
  2. Kemudian, potong setiap matlamat individu sehingga garis menegak yang bertitik.
  3. Lekatkan kertas ini di buku rampaian (tampal bahagian “Matlamat Saya” sahaja) di kertas.
  4. Angkat setiap matlamat kecil dan berikan jawapan kamu di muka surat dalam buku rampaian tersebut.

matlamat

Mudahan-mudahan hasilnya berbaloi. Membuat penterjemahan serta templat sendiri bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi pada masa yang sama perlu membuat persediaan untuk mengajar.

Terpilih

Penggunaan Bahasa Deria Dalam Ayat Pertunjukan

Salah satu cabaran ketika menyemak karangan deskriptif ialah penggunaan ayat-ayat yang terlalu mudah dan tidak dapat menambat perhatian para pembaca. Antara ayat-ayat mudah yang saya maksudkan ialah “Hari ini hujan turun dengan lebatnya.”

hujan.jpg

Ayat seperti itu hanya memberitahu para pembaca bahawa hujan turun dengan lebat pada hari itu. Ayat tersebut tidak membantu para pembaca untuk menghayati atau merasakan suasana hujan yang sebenarnya. Ayat seperti ini dipanggil sebagai “ayat pemberitahuan(telling sentence).

Saya sudah cuba melakukan aktiviti ini pada tahun lepas dan maklum balas yang saya terima positif. Pelajar sudah mula mahu menulis ayat yang lebih baik yang menggunakan bahasa deria atau dikenali sebagai sensory language. Para pelajar dikehendaki menggunakan kelima-lima pancaindera mereka untuk menghasilkan ayat pertunjukan atau dikenali sebagai showing sentence.

Strategy Show, Not Tell ini dihasilkan oleh Rebekah Kaplan dan berikut merupakan maksud di sebalik teknik pengajaran ini:

One of the more creative and effective tools in writing a successful essay is the technique of ‘Show, not Tell’. This technique was developed by Rebekah Kaplan with the purpose of assisting students everywhere write an engaging essay from beginning to end, leaving a memorable and lasting impression on the reader. The technique of ‘Show not Tell’ follows a simple rule of thumb… choose descriptive words for your essay which will appeal to the reader’s senses. The writer will want to conjure up images in the reader’s mind incorporating all the senses while writing about the topic at hand.

(https://news.essayontime.com/the-show-not-tell-technique)

Berikut merupakan contoh-contoh ayat pertunjukan yang dihasilkan oleh para pelajar menengah 2NA setelah melakukan bersama-sama di dalam kelas:
Ayat Pemberitahuan: Hujan turun dengan lebatnya.

Ayat Pertunjukan: Langit menjadi mendung dan awan hitam berarak perlahan. Hujan renyai tiba-tiba menitis di kepalaku. Kilat sabung-menyabung dan tidak semena-mena hujan merintik dengan agak deras. Halilintar membelah langit dan bahana petir mengejutkanku dari lamunan. Kesejukan angin yang menderu-deru membuat badanku menggigil kesejukan. Meremang bulu roma akibat kesejukan angin yang bagai menggigit-gigit tulang. Bajuku menjadi basah-kuyup sehingga melekat pada kulit akibat percikan manik-manik hujan yang menghunjam bumi dengan penuh irama.

Lihat perbezaannya antara ayat pertunjukan dengan ayat pemberitahuan? Sebenarnya ayat pertunjukan ini juga sesuai digunakan dalam karangan naratif. Berikut merupakan contoh lembaran kerja dan hasil tugas pelajar saya:

20170811_134044
Contoh ayat pertunjukan kepada para pelajar
20170811_134050
Pelajar berusaha untuk menulis ayat pertunjukan

Setelah melakukan aktiviti ini, para pelajar kini sudah cuba untuk menggunakan ayat pertunjukan dalam karangan deskriptif. Saya mula melihat beberapa ayat pertunjukan dalam karangan deskriptif (kerosakan dalam MRT) seperti berikut:

  • ramai orang bertolak-tolakan antara satu sama lain apabila mahu memasuki gerabak MRT yang sudah sesak bagaikan tin sardin.
  • Badan-badan yang melekit seperti gula cair menyentuh badan saya.
  • Tangisan bayi yang kuat bagaikan mahu memecahkan gegendang telinga saya.
  • Terasa bahang bagaikan berada dalam ketuhar.
  • Saya cuba menyelit ke dalam lautan manusia untuk mengimbas kad saya.

Kadang-kala, para pelajar kita kreatif sangat sehingga menghasilkan ayat pertunjukan yang kurang sesuai dan janggal seperti, ” Mukanya seperti dibanjiri air sungai”.  Begitulah pengajaran ayat pertunjukan dengan menggunakan bahasa deria untuk menghasilkan sebuah karangan deskriptif yang menarik. Semoga memberi manfaat kepada semua 🙂

Mari Belajar Menterjemahkan Lagu

Jujur saya katakan, aktiviti ini merupakan aktiviti yang dirancangkan secara tidak sengaja. Hanya kerana saya terlihat sebuah video yang dihasilkan oleh satu kumpulan dari Malaysia yang sangat melucukan. Video ini merupakan usaha mereka untuk menterjemahkan lagu-lagu Inggeris yang popular ke bahasa Melayu. Malangnya, mereka telah melakukan  terjemahan harfiah (literal translation). Mungkin ini dilakukan secara sengaja sebagai satu hiburan sahaja.  Walaupun dari segi nahu dan struktur ayatnya agak teruk dan janggal, gelagat mereka sangat menghiburkan dan menggelikan hati. Maka, saya mendapat inspirasi untuk menguji para pelajar menengah 4 Normal Teknikal saya untuk cuba menterjemahkan sebuah lagu; bukan lagu Inggeris yang popular, tetapi lagu yang berkaitan dengan topik yang telah mereka pelajari sebelumnya (mereka mempelajari tentang peri pentingnya menjaga persekitaran alam) iaitu “Save My World“.

translate
Video yang telah saya tonton di FB.

Para pelajar saya sangat terhibur menonton video ini. Lantas, saya mencabar mereka untuk menterjemahkan lagu “Save My World” ke bahasa Melayu.

save my world
Lagu tema Kempen Bersih & Hijay Singapura, “Save My World”.

Aktiviti ini memakan masa selama antara 4-5 waktu ( setiap waktu = 35 minit). Untuk memudahkan proses penterjemahan mereka, saya menyediakan senarai kosa kata dalam bahasa Melayu yang boleh mereka gunakan semasa melakukan aktiviti ini.  Aktiviti ini dijalankan secara berkumpulan untuk memberikan mereka motivasi untuk mencuba yang terbaik.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Dah inilah hasilnya:

persembahan 1

persembahan 2

Ada yang tersipu malu untuk menyanyi dan ada pula yang tercegat membatu menyembunyikan muka dengan kertas lirik. Sungguh pun begitu, saya tabik keberanian pelajara saya kerana berani mencuba dan membuat persembahan.

Mereka juga turut berkongsi bukan mudah untuk menterjemahkan lagu Inggeris ke bahasa Melayu. Salah satu cabaran yang mereka hadapi ialah untuk mencari perkataan bahasa Melayu yang mempunyai jumlah suku kata yang kecil (dua sukukata) agak sukar untuk menterjemahkan perkataan Inggeris yang hanya mempunyai satu atau dua suku kata sahaja. Ini merupakan satu pemerhatian yang baik dari pelajar-pelajar saya.

Kemudian, saya menunjukkan sebuah muzik video yang telah menterjemahkan sebuah lagu yang sedang hangat ke bahasa Melayu dengan baik sekali. Video yang dimaksudkan ialah lagu “Despacito” Versi Melayu yang dihasilkan oleh Dzar Ismail dan sahabat-sahabatnya.

dzar

Salasilah Keluarga

Semasa mengajar tentang tema Sayangi Keluarga dalam unit 3 aliran Normal Teknikal, saya terfikir apakah perkara baharu yang ingin saya perkenalkan kepada pelajar-pelajar saya. Tahun lalu, mereka sudah pun diajar istilah-istilah nama panggilan dalam keluarga seperti besan, mertua dan ipar.

Tergerak hati saya untuk mengajar tentang salasilah keluarga. Pada awalnya, saya berasa sangsi akan keupayaan dan tahap motivasi yang ada pada pelajar saya. Maklumlah, sedangkan saya sendiri pun berasa payah untuk mendapatkan informasi tentang salasilah keluarga saya sendiri. Namun, apa yang mendorong saya untuk meneruskan aktiviti ialah, sekurang-kurangnya, pelajar saya akan berusaha dan mempelajari perkara baharu seperti istilah moyang, buyut dan mengenal pasti susur galur keluarganya.

Saya pun menghasilkan lembaran kerja seperti berikut:

salasilah keluarga

Saya pasti pelajar-pelajar saya memerlukan masa untuk menyelesaikan tugasan ini, maka ini diberikan sebagai tugasan semasa cuti sekolah.

Hasilnya? MENAKJUBKAN.

Saya begitu teruja sekali apabila salah seorang pelajar saya, Maulvi, memberitahu saya bahawa dia bersungguh-sungguh melakukan tugasan ini dengan menelefon semua saudara-maranya. Nampaknya, tugasan seperti ini ada kebaikannya, di mana pelajar saya berkomunikasi dengan ahli keluarga dan saudara-maranya dan saya pasti ini dapat merapatkan keakraban di kalangan mereka.

20170321_120950
Saya terkesima melihat susur galur keluarga Maulvi! Ternyata Maulvi layak mendapat gred A untuk tugasan ini. 
IMG_20170321_144824_167
Lihat wajah Maulvi yang kelihatan gembira untuk berkongsi hasil usahanya

Bukan itu sahaja, melalui aktiviti ini, saya pun mendapat tahu bahawa pelajar saya, Wahidah, merupakan cucu kepada seorang penulis mapan di Singapura, Encik Djamal Tukimin!

20170321_121434
Wahidah juga turut sertakan informasi asal-usul ahli keluarganya yang berasal dari  Jawa, Sarawak, Bugis dan India

Melalui aktiviti ini juga, para pelajar saya akan melihat sendiri keunikan nama-nama nenek, datuk serta moyang mereka. Ternyata, pembelajaran hari ini sangat menyeronokkan dan membuka minda pelajar-pelajar saya. Perkara paling penting saya pelajari hari ini ialah JANGAN memandang rendah (underestimate) terhadap keupayaan pelajar saya.

Kosa Kata

Salasilah – daftar keturunan keluarga

Sangsi – berasa bimbang atau berasa ragu-ragu

Susur Galur – susunan keturunan; salasilah

Menakjubkan – meng­a­gumkan

Keakraban – perhubungan atau pertalian yg sangat erat

Terkesima – tercengang

Mapan – sudah dikenali ramai

Perlumbaan Hebat atau “Amazing Race” Di Sekolah Untuk Pelajar Menengah 2 Normal Teknikal

Amazing-Race-2T

Salah satu unit dalam buku teks Jauhari 2A untuk aliran Normal Teknikal ialah mengenali kawasan sekolah. Saya mendapat inspirasi dari rancangan realiti Amazing Race lalu cuba membuat penukaran sedikit agar aktiviti yang dilakukan sesuai dengan keperluan pelajar. Saya mendapat bantuan daripada seorang rakan guru yang mengajar kelas ini juga untuk bekerjasama dan menghasilkan pembelajaran ini.

Apabila membuat bahan untuk aktiviti ini, saya mengelilingi satu sekolah kemudian memetik gambar beberapa bahagian di daerah sekolah. Kemudian, gambar tersebut akan dijadikan sebagai petunjuk untuk para pelajar meneka di manakah lokasi gambar ini di sekolah. Kemudian, para pelajar dikehendaki untuk mengambil gambar di lokasi tersebut bersama petunjuk yang diberikan dengan menggunakan telefon bimbit mereka. Di lokasi tersebut, para pelajar juga dikehendaki untuk menjawab soalan bahasa dan menuliskan jawapannya di dalam kertas petunjuk tersebut.

Contoh Petunjuk Untuk Perlumbaan Hebat

IMG_2843.JPG
Pasukan ini menjumpai petunjuk (kapal terbang) dan lokasinya ialah di  Hab Kerjaya (Career Hub)
IMG_2844.JPG
Cikgu Fadillah menyemak jawapan mereka dalam kertas petunjuk serta gambar yang diambil pasukan dalam telefon bimbit mereka.

Melalui aktiviti ini, saya mendapati segelintir pelajar saya tidak mempunyai stamina! Saya sangkakan dalam usia mereka yang masih muda, mereka sepatutnya bertenaga dan suka bersaing. Saya memerhatikan ada yang cepat mengalah dan berputus asa, ada pula yang mempunyai sikap sabar dengan karenah rakan-rakannya dan ada juga yang menunjukkan semangat kekitaan. Begitulah ragam para pelajar saya, sesuatu yang tidak dapat dilihat dalam konteks bilik darjah.

Kami turut menjemput guru darjah mereka sebagai tetamu undangan khas untuk menyampaikan hadiah bagi pemenang pertama dalam perlumbaan hebat ini. Seronok juga mengadakan aktiviti seperti ini yang diadakan di luar bilik darjah.

IMG_2857.JPG
Tahniah Rafiqin, Ammar, Rooney dan Maulvi kerana mendapat tempat pertama dalam aktiviti Perlumbaan Hebat di Northbrooks!

Melihat hasilnya yang begitu memberangsangkan, saya berasa teruja untuk menghasilkan lebih banyak aktiviti seperti ini untuk para pelajar saya.

Kosa Kata

petunjuk – panduan, rujukan, (clue)

suka bersaing – kompetitif, berlumba-lumba

semangat kekitaan – semangat kerjasama

memberangsangkan – memberi galakan