Pembelajaran Kata Adjektif (2)

Salah satu tugasan saya semasa menuntut di Institut Pendidikan Nasional ialah untuk menghasilkan satu rancangan pembelajaran menggunakan alat ICT. Kumpulan saya (3 orang) telah menghasilkan satu pakej untuk mengajar kata adjektif.

Projek ini walaupun dihasilkan pada tahun 2004 (mungkin 2005), alhamdulillah alat pengajaran ini masih tetap relevan dan tidak nampak lapuk ataupun ketinggalan zaman. Apatah lagi dengan teknologi yang semakin pesat berkembang, kebanyakan alat ICT sudah pun dianggap tidak relevan dengan keperluan pembelajaran pada zaman ini yang semakin maju.

Setelah mengajar topik kata adjektif kepada pelajar menengah satu ekspres saya, saya ingin menguji sama ada mereka boleh mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari. Projek ICT ini sesuai untuk digunakan kerana para pelajar dikehendaki untuk menjadi seorang pegawai polis yang harus mencari penjenayah yang disyaki melakukan sebuah rompakan di sebuah rumah.

Saya andaikan para pelajar saya akan menganggap projek ICT ini tidak menarik. Jangkaan saya meleset sama sekali. Kelihatan para pelajar teruja untuk mencari penjenayah tersebut. Dengan penuh ketelitian, mereka mencari maklumat-maklumat berguna daripada ketiga-tiga saksi untuk mendapat sifat-sifat ( dengan menggunakan kata adjektif) yang serupa untuk menangkap penjenayah. Pembelajaran ini merupakan satu pembelajaran yang aktif kerana pelajar bukan sahaja bermain satu permainan tetapi mereka juga boleh mendengar dialog serta membaca dialog yang diucapkan oleh saksi-saksi kes rompakan itu.

adjektif

Berdasarkan informasi yang telah mereka dapat, mereka dikehendaki untuk mencari penjenayah yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki. Nampak gaya projek saya ini terselamat daripada kelapukan dan diharapkan masih boleh digunakan lagi dalam tahun-tahun yang akan datang :).

 

 

Advertisements

Ilustrasi Peribahasa

Peribahasa ialah susunan perkataan yang mengandungi maksud tersirat yang lahir daripada fikiran masyarakat Melayu lama. Peribahasa digunakan untuk menggambarkan sifat dan kelakuan manusia dan keadaan sesuatu masyarakat. Maka tidak hairanlah jika terdapat kosa kata-kosa kata yang  digunakan dalam peribahasa Melayu dianggap agak canggung serta tidak relevan dengan kehidupan pelajar-pelajar zaman hari ini.

Itulah salah satu cabaran pelajar ketika mengulang kaji peribahasa Melayu. Bagi mereka yang mahir, menghafal peribahasa merupakan cara yang terbaik untuk mempelajari peribahasa. Bagi mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang lemah, mereka terkial-kial untuk mempelajari peribahasa. Mereka menyatakan bahawa mereka tidak memahami peribahasa dan tidak dapat melihat kaitan peribahasa tersebut dengan maksud peribahasanya.

Maka tercetusnya satu idea untuk mendapatkan pelajar untuk melukiskan peribahasa serta menghasilkan satu cerita pendek yang berkaitan dengan peribahasa yang telah mereka lukiskan. Pada pendapat saya, dengan melukiskan peribahasa, para pelajar dapat memahami maksud peribahasa dengan lebih baik dan pada masa yang sama dapat menggunakan serta mengasahkan kreativiti mereka.

Saya memulakan aktiviti ini pada tahun 2014 dan sejak tahun itu, saya telah mengumpul beberapa lukisan peribahasa yang sangat menarik yang berjaya menerangkan makna peribahasa melalui visual dengan berkesan.

Saya juga menggalakkan pelajar saya untuk menghasilkan cerita pendek berkenaan peribahasa yang telah mereka tulis. Bahagian ini agak mencabar kerana tidak ramai pelajar berupaya untuk memasukkan peribahasa dalam cerita ringkas yang telah mereka tulis.

20180410_13002920180410_13002520180410_13002120180410_130033

Antara hasil usaha pelajar menengah satu ekspres saya tahun ini untuk Unit 2 Buku Teks Jauhari

Baik juga kalau setiap ilustrasi dan cerita rekaan pelajar-pelajar ini dapat dikumpul dan dijadikan sebagai bahan rujukan dan bacaan. Dengan menggunakan strategi ini, diharapkan pembelajaran peribahasa tidak begitu membosankan dan menggalakkan pelajar untuk menyukai peribahasa Melayu.

Makna perkataan:

canggungagak kekok atau kurang mahir melakukan sesuatu kerana belum biasa melakukannya

terkial-kial berbuat sesuatu dgn susah payah

tercetus – timbul atau terjadi sesuatu keadaan

Penerapan Pemikiran Jelas (Making Thinking Visible) Dalam Unit 1: Hasil Ciptaanku Menengah 3 Normal Akademik

Penerapan Pemikiran Jelas (Making Thinking Visible) Dalam Unit 1: Hasil Ciptaanku Menengah 3 Normal Akademik

Sejak kebelakangan ini, ramai para guru telah mula menggunakan teknik pemikiran jelas ataupun lebih popular dikenali sebagai making thinking visible (MTV) dalam kelas.

Mengapa Pemikiran Jelas Penting?

The central idea of Visible Thinking is very simple: making thinking visible.

We learn best what we can see and hear (“visible thinking” means generally available to the senses, not just what you can see with your eyes). We watch, we listen, we imitate, we adapt what we find to our own styles and interests, we build from there. Now imagine learning to dance when the dancers around you are all invisible. Imagine learning a sport when the players who already know the game can’t be seen.

Strange as it seems, something close to it happens all the time in one very important area of learning: learning to think, which includes learning to learn. Thinking is pretty much invisible. To be sure, sometimes people explain the thoughts behind a particular conclusion, but often they do not. Mostly, thinking happens under the hood, within the marvelous engine of our mind-brain.

Visible Thinking includes a number of ways of making students’ thinking visible to themselves, to their peers, and to the teacher, so they get more engaged by it and come to manage it better for learning and other purposes.

When thinking is visible in classrooms, students are in a position to be more metacognitive, to think about their thinking. When thinking is visible, it becomes clear that school is not about memorizing content but exploring ideas. Teachers benefit when they can see students’ thinking because misconceptions, prior knowledge, reasoning ability, and degrees of understanding are more likely to be uncovered. Teachers can then address these challenges and extend students’ thinking by starting from where they are.

– diambil dari lelaman Visible Thinking

Secara jujurnya, saya tidak begitu yakin untuk menerapkan teknik MTV dalam kelas. Namun, saya percaya pada istilah, belum cuba, belum tahu. Kali pertama membuatnya pasti sukar pada mulanya, lama-lama akan menjadi mudah sedikit seperti peribahasa alah bisa tegal biasa.

Merujuk pada unit pertama dalam buku teks Jauhari Menengah 3NA yang bertajuk Ciptaanku, saya berasa topik ini sangat sesuai untuk menggunakan teknik MTV.  Untuk menjadi seorang pencipta, bukankah dia seharusnya mempunyai pemikiran kritikal dan meluaskan serta menjana idea-idea inovatif?

Dalam pengajaran ini, saya mencabar pelajar-pelajar saya untuk menjadi seorang pencipta. Tugas mereka ialah untuk menghasilkan satu ciptaan yang boleh membantu manusia dan merubah seluruh dunia.

Sebelum memulakan tugasan mereka, pelajar telah didedahkan kepada pelbagai jenis ciptaan yang telah mengubah dunia.

Sila klik pada pautan ini: 3NA_Unit1_Ciptaanku

Saya juga menunjukkan video mengenai seorang lelaki dari India, Arunachalam Muruganantham, yang mencipta tuala wanita untuk kaum perempuan di India.

Sila klik pada gambar ini untuk menonton video:

Arunachalam-Muruganantha-Jayaashree-Industries

Tujuan utama menunjukkan video ini adalah untuk membolehkan pelajar berfikir secara mendalam dan kritika betapa pentingnya untuk seorang pencipta mengenal pasti masalah sebelum membuat keputusan untuk mencipta sesuatu yang baharu. Saya berharap dengan adanya aktiviti ini dapat membantu pelajar  mereka suatu ciptaan yang akan merubah dunia.

Saya memberi mereka seminggu untuk menyelesaikan tugasan ini. Pada masa yang sama, saya juga  tidak meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap pelajar saya saya supaya saya tidak akan kecewa. Setelah menerima tugasan-tugasan mereka, saya benar-benar kagum terhadap kreativiti mereka serta pemikiran kritikal yang dipaparkan dalam ciptaan-ciptaan mereka.

Selepas menjalani aktiviti ini, saya menyedari bahawa pelajaran dalam kelas tidak semestinya hanya menyediakan mereka untuk menghadapi peperiksaan. Pembelajaran dalam kelas juga merupakan satu peluang untuk pelajar saya meneroka dan mempelajari perkara-perkara baharu serta mengenal pasti kelebihan yang ada dalam diri mereka. Saya agak teruja untuk mencuba dan menanamkan rutin ini dalam pelajaran yang akan datang.

Berikut adalah hasil tugasan-tugasan pelajar saya:

Makna Perkataan:

alah bisa tegal biasa  – perkara yang sukar apabila kerap kali dilakukan, atau kerap kali berlatih akan terasa mudah dan menjadi mahir

inovatif – merupakan (bersifat) inovasi

Contoh- Contoh Ayat Pertunjukan

Assalamualaikum semua.

Saya ingin berkongsi hasil pelajar-pelajar saya menghasilkan ayat pertunjukan untuk beberapa ayat pemberitahuan yang telah diberikan.

Ayat Pemberitahuan: Hujan turun dengan lebatnya.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Halililintar (petir) membelah langit
  • meremang bulu roma akibat kesejukan angin
  • kesejukan titisan hujan sehingga menggigit tulang
  • kedinginan angin sehingga badan menggigil kesejukan
  • kilat sabung-menyabung
  • langit menjadi mendung
  • awan hitam berarak
  • hujan merintik-rintik
  • kesejukan ibarat berada dalam peti ais
  • angin menderu-deru
  • hujan renyai/gerimis menitis di kepalaku
  • kedengar percikan manik-manik hujan menghunjam bumi dengan penuh irama
  • baju menjadi basah-kuyup sehingga melekat pada kulit
  • bahana petir/guruh mengejutkanku dari lamunan
  • awan-awan di cakrawala mula menangis lalu menitiskan air matanya dengan deras

Hasil daripada pelajar-pelajar menengah 2NA Tahun 2017.

Ayat Pemberitahuan: Cuaca hari ini sungguh panas.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Matahari terang-benderang dan silau
  • Cuaca hari ini panas terik
  • Kulitku terasa seperti dibakar
  • Seluruh badanku berpeluh dan melekit
  • Mukaku kemerah-merahan
  • Sinaran matahari yang silau memancar terus ke mataku sehingga hampir-hampir membutakan pandanganku.
  • Manik-manik peluh mula mengalir di pipiku
  • Tekakku mula terasa kering kerana kehausan
  • Matahari dengan megah melantunkan sinaran cahaya yang panas terik
  • Tekakku haus bukan kepalang
  • Anak tekakku kering kehausan air
  • Cahaya yang dipancarkan oleh matahari kian menggila panasnya membuat kulitku seakan-akan terbakar
  • Berpeluh berbaldi-baldi

Hasil daripada pelajar 3NA 2016.

Ayat Pemberitahuan: Cikgu Jariah memarahi Aiman.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Muka Cikgu Jariah kemerah-merahan seperti bebola api yang menyala
  • Matanya terbeliak besar memandang Aiman
  • Matanya terbeliak seolah-olah biji matanya hampir terkeluar
  • Pekikan yang nyaring membuat Aiman mula menitiskan air matanya
  • Cikgu Jariah memberikan renungan yang tajam seolah-olah ingin menelannya
  • Jeritan Cikgu Jariah bagaikan halilintar membelah bumi
  • Air hangat dan jernih itu mengalir juga di lurah-lurah pipinya yang gebu seperi kuih pau
  • Mulutnya bagai dikunci, lidahnya bagai tidak boleh bertutur lagi
  • Penuh dengan sindiran yang sinis, kata-kata itu bagaikan menghiris hati
  • Renungan tajam bagaikan renungan sang helang

Hasil daripada pelajar 3NA 2016.

Ayat Pemberitahuan: Rumah itu terbakar.

Frasa deskriptif Yang Menggunakan Bahasa Deria Untuk Mengubah Ayat Pemberitahuan Kepada Ayat Pertunjukan:

  • Terhidu udara yang hangit
  • Udara di sekelilingku menjadi panas seolah-olah seperti membuatku berasa berada dalam neraka
  • Kepulan asap hitam tebal mengikut arus angin
  • Pekikan suara yang nyaring
  • Rumah dijilat api
  • Peristiwa masih segar dalam ingatan
  • Suasana menjadi huru-hara
  • Memekik terlolong
  • Api mengganas dan merebak pantas
  • Api kemerah-merahan
  • Rumah itu hangus dan hitam-belegam
  • Api yang membesar bagaikan raksasa di jendela
  • Loceng bordering nyaring menggegar seluruh bangunan itu
  • Pekikan orang ramai bagai menghentam gegendang telinga
  • Ketukan bertubi-tubi di pintu
  • Bau hangit menusuk ke dalam hidungku
  • Hitam seperti arang
  • Peristiwa gerun yang berlaku di hadapan mataku hampir-hampir melumpuh diriku
  • Asap yang tebal membuat nafasku tercungap-cungap
  • Perasaan gerun dan takut menyelubungi diriku
  • Lampu kereta bomba yang berkelap-kelip secara rawak
  • Menyiram rumah yang panas seperti ketuhar dengan pancutan air
  • Seluruh rumah itu hangus sehingga menjadi abu
  • Orang berlari lintang-pukang cuba menyelamatkan diri
  • Aku terus melarikan diri tanpa memikirkan apa-apa
  • Penglihatan aku menjadi kabur
  • Orang ramai berkerumun di luar bangunan itu
  • Api yang mengganas merebak dari satu tempat hingga ke tempat bersebelahan dengan sekelip mata
  • Pancutan air yang deras mematikan api yang mengganas itu

Hasil daripada pelajar 2 Ekspres 2016.

Diharapkan perkongsian ini dapat memanfaatkan para pelajar dalam penulisan karangan mereka.

Selamat Hari Raya Daripada Guru-Guru Northbrooks

Assalamualaikum.

Sudah lama saya tidak mengemas kini blog saya. Sambutan Syawal dan juga pembukaan sekolah untuk penggal 3 membuat saya amat sibuk. Insya Allah, tidak lama lagi, saya akan berkongsi beberapa alat ICT yang menarik serta strategi pengajaran Bahasa Melayu.

Rabu yang lalu merupakan konsert Hari Raya dan Hari Perkauman Kaum di sekolah saya. Alhamdulillah, konsert berjalan lancar dan akhiri dengan muzik video yang saya hasilkan bersama sokongan rakan-rakan di sekolah.

Siapa kata guru tak pandai menyanyi dan berlakon? Hehe. Semoga tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

 

Mari Belajar Menterjemahkan Lagu

Jujur saya katakan, aktiviti ini merupakan aktiviti yang dirancangkan secara tidak sengaja. Hanya kerana saya terlihat sebuah video yang dihasilkan oleh satu kumpulan dari Malaysia yang sangat melucukan. Video ini merupakan usaha mereka untuk menterjemahkan lagu-lagu Inggeris yang popular ke bahasa Melayu. Malangnya, mereka telah melakukan  terjemahan harfiah (literal translation). Mungkin ini dilakukan secara sengaja sebagai satu hiburan sahaja.  Walaupun dari segi nahu dan struktur ayatnya agak teruk dan janggal, gelagat mereka sangat menghiburkan dan menggelikan hati. Maka, saya mendapat inspirasi untuk menguji para pelajar menengah 4 Normal Teknikal saya untuk cuba menterjemahkan sebuah lagu; bukan lagu Inggeris yang popular, tetapi lagu yang berkaitan dengan topik yang telah mereka pelajari sebelumnya (mereka mempelajari tentang peri pentingnya menjaga persekitaran alam) iaitu “Save My World“.

translate
Video yang telah saya tonton di FB.

Para pelajar saya sangat terhibur menonton video ini. Lantas, saya mencabar mereka untuk menterjemahkan lagu “Save My World” ke bahasa Melayu.

save my world
Lagu tema Kempen Bersih & Hijay Singapura, “Save My World”.

Aktiviti ini memakan masa selama antara 4-5 waktu ( setiap waktu = 35 minit). Untuk memudahkan proses penterjemahan mereka, saya menyediakan senarai kosa kata dalam bahasa Melayu yang boleh mereka gunakan semasa melakukan aktiviti ini.  Aktiviti ini dijalankan secara berkumpulan untuk memberikan mereka motivasi untuk mencuba yang terbaik.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Dah inilah hasilnya:

persembahan 1

persembahan 2

Ada yang tersipu malu untuk menyanyi dan ada pula yang tercegat membatu menyembunyikan muka dengan kertas lirik. Sungguh pun begitu, saya tabik keberanian pelajara saya kerana berani mencuba dan membuat persembahan.

Mereka juga turut berkongsi bukan mudah untuk menterjemahkan lagu Inggeris ke bahasa Melayu. Salah satu cabaran yang mereka hadapi ialah untuk mencari perkataan bahasa Melayu yang mempunyai jumlah suku kata yang kecil (dua sukukata) agak sukar untuk menterjemahkan perkataan Inggeris yang hanya mempunyai satu atau dua suku kata sahaja. Ini merupakan satu pemerhatian yang baik dari pelajar-pelajar saya.

Kemudian, saya menunjukkan sebuah muzik video yang telah menterjemahkan sebuah lagu yang sedang hangat ke bahasa Melayu dengan baik sekali. Video yang dimaksudkan ialah lagu “Despacito” Versi Melayu yang dihasilkan oleh Dzar Ismail dan sahabat-sahabatnya.

dzar

Salasilah Keluarga

Semasa mengajar tentang tema Sayangi Keluarga dalam unit 3 aliran Normal Teknikal, saya terfikir apakah perkara baharu yang ingin saya perkenalkan kepada pelajar-pelajar saya. Tahun lalu, mereka sudah pun diajar istilah-istilah nama panggilan dalam keluarga seperti besan, mertua dan ipar.

Tergerak hati saya untuk mengajar tentang salasilah keluarga. Pada awalnya, saya berasa sangsi akan keupayaan dan tahap motivasi yang ada pada pelajar saya. Maklumlah, sedangkan saya sendiri pun berasa payah untuk mendapatkan informasi tentang salasilah keluarga saya sendiri. Namun, apa yang mendorong saya untuk meneruskan aktiviti ialah, sekurang-kurangnya, pelajar saya akan berusaha dan mempelajari perkara baharu seperti istilah moyang, buyut dan mengenal pasti susur galur keluarganya.

Saya pun menghasilkan lembaran kerja seperti berikut:

salasilah keluarga

Saya pasti pelajar-pelajar saya memerlukan masa untuk menyelesaikan tugasan ini, maka ini diberikan sebagai tugasan semasa cuti sekolah.

Hasilnya? MENAKJUBKAN.

Saya begitu teruja sekali apabila salah seorang pelajar saya, Maulvi, memberitahu saya bahawa dia bersungguh-sungguh melakukan tugasan ini dengan menelefon semua saudara-maranya. Nampaknya, tugasan seperti ini ada kebaikannya, di mana pelajar saya berkomunikasi dengan ahli keluarga dan saudara-maranya dan saya pasti ini dapat merapatkan keakraban di kalangan mereka.

20170321_120950
Saya terkesima melihat susur galur keluarga Maulvi! Ternyata Maulvi layak mendapat gred A untuk tugasan ini. 
IMG_20170321_144824_167
Lihat wajah Maulvi yang kelihatan gembira untuk berkongsi hasil usahanya

Bukan itu sahaja, melalui aktiviti ini, saya pun mendapat tahu bahawa pelajar saya, Wahidah, merupakan cucu kepada seorang penulis mapan di Singapura, Encik Djamal Tukimin!

20170321_121434
Wahidah juga turut sertakan informasi asal-usul ahli keluarganya yang berasal dari  Jawa, Sarawak, Bugis dan India

Melalui aktiviti ini juga, para pelajar saya akan melihat sendiri keunikan nama-nama nenek, datuk serta moyang mereka. Ternyata, pembelajaran hari ini sangat menyeronokkan dan membuka minda pelajar-pelajar saya. Perkara paling penting saya pelajari hari ini ialah JANGAN memandang rendah (underestimate) terhadap keupayaan pelajar saya.

Kosa Kata

Salasilah – daftar keturunan keluarga

Sangsi – berasa bimbang atau berasa ragu-ragu

Susur Galur – susunan keturunan; salasilah

Menakjubkan – meng­a­gumkan

Keakraban – perhubungan atau pertalian yg sangat erat

Terkesima – tercengang

Mapan – sudah dikenali ramai