Perlumbaan Hebat atau “Amazing Race” Di Sekolah Untuk Pelajar Menengah 2 Normal Teknikal

Amazing-Race-2T

Salah satu unit dalam buku teks Jauhari 2A untuk aliran Normal Teknikal ialah mengenali kawasan sekolah. Saya mendapat inspirasi dari rancangan realiti Amazing Race lalu cuba membuat penukaran sedikit agar aktiviti yang dilakukan sesuai dengan keperluan pelajar. Saya mendapat bantuan daripada seorang rakan guru yang mengajar kelas ini juga untuk bekerjasama dan menghasilkan pembelajaran ini.

Apabila membuat bahan untuk aktiviti ini, saya mengelilingi satu sekolah kemudian memetik gambar beberapa bahagian di daerah sekolah. Kemudian, gambar tersebut akan dijadikan sebagai petunjuk untuk para pelajar meneka di manakah lokasi gambar ini di sekolah. Kemudian, para pelajar dikehendaki untuk mengambil gambar di lokasi tersebut bersama petunjuk yang diberikan dengan menggunakan telefon bimbit mereka. Di lokasi tersebut, para pelajar juga dikehendaki untuk menjawab soalan bahasa dan menuliskan jawapannya di dalam kertas petunjuk tersebut.

Contoh Petunjuk Untuk Perlumbaan Hebat

IMG_2843.JPG
Pasukan ini menjumpai petunjuk (kapal terbang) dan lokasinya ialah di  Hab Kerjaya (Career Hub)
IMG_2844.JPG
Cikgu Fadillah menyemak jawapan mereka dalam kertas petunjuk serta gambar yang diambil pasukan dalam telefon bimbit mereka.

Melalui aktiviti ini, saya mendapati segelintir pelajar saya tidak mempunyai stamina! Saya sangkakan dalam usia mereka yang masih muda, mereka sepatutnya bertenaga dan suka bersaing. Saya memerhatikan ada yang cepat mengalah dan berputus asa, ada pula yang mempunyai sikap sabar dengan karenah rakan-rakannya dan ada juga yang menunjukkan semangat kekitaan. Begitulah ragam para pelajar saya, sesuatu yang tidak dapat dilihat dalam konteks bilik darjah.

Kami turut menjemput guru darjah mereka sebagai tetamu undangan khas untuk menyampaikan hadiah bagi pemenang pertama dalam perlumbaan hebat ini. Seronok juga mengadakan aktiviti seperti ini yang diadakan di luar bilik darjah.

IMG_2857.JPG
Tahniah Rafiqin, Ammar, Rooney dan Maulvi kerana mendapat tempat pertama dalam aktiviti Perlumbaan Hebat di Northbrooks!

Melihat hasilnya yang begitu memberangsangkan, saya berasa teruja untuk menghasilkan lebih banyak aktiviti seperti ini untuk para pelajar saya.

Kosa Kata

petunjuk – panduan, rujukan, (clue)

suka bersaing – kompetitif, berlumba-lumba

semangat kekitaan – semangat kerjasama

memberangsangkan – memberi galakan

Advertisements

Membuat Sajak (Kelas 2 NA 2017)

Dalam unit 1 buku teks Jauhari 2A (NA), topiknya fokus tentang karyawan muda serta pengenalan tentang pelbagai jenis kesusasteraan Melayu seperti novel, cerpen dan sajak. Sebagai seorang pendidik, saya merasakan penting untuk saya memperkenalkan beberapa karyawan Singapura yang patut mereka kenali. Antara karyawan-karyawan yang saya perkenalkan kepada pelajar saya ialah Allahyarham Muhammad Ariff Ahmad, Allahyarham Masuri S.N, Allahyarham Zubir Said dan Alfian Saat.

Saya juga memperkenalkan sajak Allahyarham Masuri S.N “Ini Nasi Yang Kusuap” kepada para pelajar dan melakukan perbincangan tentang tema, bentuk, nada serta gaya bahasa yang digunakan dalam sajak ini.

Setelah mengajar para pelajar saya tentang cara-cara membuat sajak, mereka mula menghasilkan sajak secara berkumpulan berpandukan sajak contoh “Ini Nasi Yang Kusuap”. Mereka juga berpeluang untuk mendeklamasikan sajak mereka di hadapan rakan-rakan mereka.

Berikut merupakan sajak daripada kumpulan Al Afza, Kabir dan Nurjannah dari kelas 2Empathy di mana mereka menghasilkan sebuah sajak tentang Donald Trump. Sajak mereka juga merupakan sajak yang disukai oleh rakan-rakan sedarjah mereka serta mendapat markah yang paling tinggi ketika dinilai oleh kumpulan-kumpulan lain. Syabas!

Donald Trump

Kami tidak suka kepadamu

Kau telah menang pilihan raya presiden dengan menipu

Kau seorang yang bersikap perkauman

Perbuatanmu sungguh tidak sopan

 

Kau akan gagal menjaga negaramu

Kami menyesal dengan pilihan ramai

Kami harap kau akan gagal

Jangan andaikan yang kau sangat hebat

 

Kami tidak akan hilang semangat

Kau tidak akan kekal selama-lamanya

Kami tahu kau akan kalah

nbc-fires-donald-trump-after-he-calls-mexicans-rapists-and-drug-runners.jpg

Kosakata

karyawan – orang yg banyak menghasilkan karya

kesusasteraan – seni yg meng­gambarkan keindahan dgn bahasa

mendeklamasikan – membacakan (me­nyam­­­­­­­­paikan) sajak dll utk didengari

Dulu Gagal ‘O’ Kini Dalam Senarai Dekan NYP

bh_20170111_pg_1_2683731

Nur Eliza. Seorang pelajar yang pernah saya ajar dahulu. Orangnya ceria dan selalu suka tersenyum. Tidak ada masalah disiplin dan selalu menghantar tugasan tepat pada masanya. Hanya, mungkin nasib tidak menyebelahinya ataupun dia tidak membuat persiapan yang secukupnya, maka dia terpaksa menghadapi dua kegagalan ketika dia masih menuntut di Sekolah Menengah Northbrooks.

Namun, kegagalan tersebut tidak mematahkan semangatnya. Dialah contoh terbaik untuk menerangkan peribahasa genggam bara api biar sampai jadi arang.  Kegagalan semasa peperiksaan peringkat ‘O’ tidak menghalangnya untuk membuat yang terbaik buat dirinya. Perjalanannya untuk ke politeknik lebih panjang berbanding dengan rakan-rakan sebayanya yang lain tetapi itu tidak menjadi satu hambatan untuk dirinya untuk mengejar kejayaan

Sebagai seorang guru, saya berasa sangat bangga dengan pencapainya. Saya masih ingat lagi kali pertama dia menjadi pengacara bagi satu program di sekolah iaitu pertandingan Anugerah Suara Emas. Tidak hairanlah sekiranya dia meneruskan pengajiannya dalam bidang Pengurusan Media Massa atau lebih dikenali sebagai Mass Communication. Semoga Eliza dapat menjadi suri teladan kepada pelajar-pelajar saya yang merasakan diri mereka tidak mampu meraih kejayaan dalam pelajaran mereka. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Eliza, berikut merupakan makalah tentang kejayaan Nur Eliza di Berita Harian:

GAGAL sekali tidak bererti gagal selamanya.

Walaupun Cik Nur Eliza Mohd Rani pernah gagal dalam peperiksaan GCE peringkat ‘O’, beliau bangkit dan terus berjuang dalam pelajarannya. Kini, pada usia 22 tahun, Cik Nur Eliza sedang menuntut di Politeknik Nanyang (NYP) di tahun kedua, mengejar diplomanya dalam jurusan Pengurusan Media Massa. Lebih membanggakan, beliau meraih Senarai Dekan tiga kali berturut-turut – dua sewaktu tahun pertama dan satu di tahun kedua.

Pada semester pertama, Cik Nur Eliza meraih Gred Purata Mata (GPA) setinggi 3.7. Mendapat Senarai Dekan bukan mudah. Hanya 10 peratus daripada kohort jurusan boleh meraihnya.

Dalam wawancara menerusi e-mel, Cik Nur Eliza berkata beliau terpaksa memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE) setelah gagal peperiksaan GCE ‘O’.

Namun, berkat usaha gigihnya, beliau berjaya meraih agregat 3.0 dan 3.2 ketika mengambil sijil Higher Nitec dalam jurusan Operasi Kegiatan Lapang dan Pelancongan di ITE Kolej Barat di tahun pertama dan kedua sebelum melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Pencapaian itu membanggakannya terutama kerana beliau terpaksa mengulangi peperiksaan GCE ‘N’ sebelum layak menduduki peperiksaan GCE ‘O’.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Northbrooks itu berkata beliau gagal dalam tiga mata pelajaran dengan gred D7, dan meraih agregat 33 bagi L1R5 untuk peperiksaan GCE ‘O’ itu pada 2012.

“Keluarga saya kecewa apabila mendapat tahu keputusan peperiksaan saya.Walaupun saya rasa patah semangat, saya tetap teruskan kehidupan. Bagi saya, ia hanya satu hari yang buruk; tidak semestinya semua yang berlaku akan menjadi teruk,” tambah anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.

Ibu bapanya, Cik Norlailah Kadola dan Encik Mohd Rani Tumin, masing-masing kerani di Hospital Besar Singapura (SGH) dan pemandu teksi, merupakan tunggak kekuatannya.

“Siapa saya hari ini dan pada masa akan datang semuanya disebabkan sokongan dan kasih sayang ibu bapa saya,” kata Cik Nur Eliza.

“Pendidikan merupakan pelajaran sepanjang hayat. Sesiapa sahaja boleh berjaya jika berusaha dalam apa yang dilakukan. Jangan pernah berfikir bahawa gagal bererti satu pengakhiran dalam hidup. Sentiasa berfikiran positif!” tambahnya.

Kosa Kata

genggam bara api biar sampai jadi arang

Maksud: apabila melakukan atau memulakan sesuatu kerja atau tugas yang sukar hendaklah diteruskan sehingga berjaya atau mencapai matlamatnya. 

suri teladan

Maksud: contoh yg baik (yg patut ditiru)

makalah

Maksud: rencana atau artikel tentang sesuatu perkara, biasanya yg disiarkan dlm majalah, surat khabar

hambatan

Maksud: rintangan, halangan, sekatan